Elak turun ke laut jika cuaca buruk

Razman (kanan) mendengar penerangan berhubung operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Polis Marin di Kuala Kurau, Parit Buntar pada Jumaat.
Razman (kanan) mendengar penerangan berhubung operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Polis Marin di Kuala Kurau, Parit Buntar pada Jumaat.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Nelayan di negeri ini dinasihatkan tidak turun ke laut sekiranya keadaan cuaca hujan dan ribut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, peringatan itu perlu memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika fasa peralihan monsun sekarang.

Menurutnya, ribut petir yang menyebabkan angin kuat dan gelombang besar di laut boleh mengundang risiko besar seperti bot karam dan nelayan lemas.

"Cuaca sekarang tidak menentu, jadi ada baiknya jika nampak keadaan hujan dan angin kencang, elakkan turun ke laut.

"Jika perlu juga ke laut, saya nasihatkan nelayan supaya menyediakan peralatan keselamatan seperti ditetapkan pihak berkuasa.

"Kena ada jaket keselamatan dan pelampung, bot mereka juga perlu dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta alat perhubungan radio," katanya ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan hilang di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Polis Marin di Kuala Kurau, di sini pada Jumaat.

Operasi mencari nelayan tempatan, Ch'ng Poh Chuan, 71, yang dilaporkan hilang di perairan Kuala Gula dekat Kerian sejak Selasa lalu telah diperluaskan sehingga jarak 25 batu nautika ke Pulau Pasir Hitam dari lokasi mangsa disyaki hilang.

Bot digunakan mangsa dipercayai karam akibat cuaca ribut dan setakat ini hanya barang-barang peribadi milik mangsa ditemukan terapung dan tersangkut di sebuah sangkar ikan di perairan Kuala Gula.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali tidak menolak kemungkinan mangsa hilang ketika kejadian ribut melanda kawasan itu.

Mohd Sharenliza berkata, pada hari sama, pihaknya turut menerima beberapa laporan bot nelayan tenggelam di perairan berkenaan.

"Laporan yang diterima menyebut bot mereka karam akibat ribut petir, begitupun nelayan-nelayan terlibat berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan bot nelayan lain," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pasukan penyelamat masih tidak menemui sebarang petunjuk termasuk bot yang digunakan mangsa.

"Dalam keadaan tiada sebarang petunjuk begini, peluang untuk menemui mangsa adalah tipis melainkan ia tersangkut pada pukat-pukat nelayan lain," katanya.