Bersatu, UMNO perlu cari formula terbaik dalam PRN Melaka

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pucuk pimpinan Parti Pribumi Pribumi Malaysia (Bersatu) dan UMNO perlu mencari formula terbaik supaya tidak berlaku pertembungan atau perebutan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Profesor Madya Dr Mohd Mazri Yahya berkata, penyelesaian perlu dilakukan membabitkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi pertikaian ketika ini.

"Jangan korbankan kestabilan negara hanya kerana beberapa kerusi. Bersatu dan UMNO perlu mencari formula berkenaan pertikaian beberapa kerusi yang menjadi pertikaian.

"Perkara ini perlu dibincangkan bukan untuk kebaikan satu parti tetapi seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Ziarah Prihatin Perikatan Nasional (PN) Johor di Bandar Baru Uda di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tiada kerjasama UMNO dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, selagi tiada perbincangan rasmi antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dangan Biro Politik, maka belum ada keputusan terhadap kerjasama tersebut.

Mengulas lanjut, Timbalan Yang Dipertua Pas Johor itu menjelaskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang rundingan berkenaan kerjasama itu.

Sementara, Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Ali berkata, semua pihak perlu menumpukan cara menyelesaikan masalah rakyat terutama mereka yang hilang kerja akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya mana-mana parti mahu berpolitik ketika ini, mereka perlu menunggu sehingga PRU15 kerana itu merupakan masa yang paling sesuai.

Mengenai program itu, beliau berkata, sebanyak 1,000 bungkusan barang basah mengandungi ayam, ikan dan sayur diagihkan kepada lebih 50 cawangan Bersatu, Pas dan Parti Gerakan di daerah itu.