Aktiviti lombong bijih besi dalam Hutan Simpan Ibam

Anggota penguat kuasa JPNP Pahang Timur menyita jengkaut yang digunakan untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Rompin. (Foto: ihsan JPNP)
Anggota penguat kuasa JPNP Pahang Timur menyita jengkaut yang digunakan untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Rompin. (Foto: ihsan JPNP)
A
A
A

MUADZAM SHAH - Kegiatan melombong bijih besi secara haram di atas tanah seluas dua hektar di kompartmen 220 Hutan Simpan Ibam, Rompin dikesan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin pada Khamis.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, kegiatan terbabit terbongkar selepas rondaan dilakukan pasukan penguatkuasaan daerah itu yang menemui tujuh jentera dipercayai digunakan untuk kerja-kerja melombong di dalam hutan tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati syarikat yang terbabit ada membuat permohonan kerja melombong bijih besi itu tetapi ia masih belum diluluskan.

"Kalau ikutkan, kawasan melombong itu di luar kawasan yang dipohon oleh syarikat terbabit untuk mendapatkan lesen. Jadi, syarikat itu didapati telah menceroboh hutan seluas kira-kira dua hektar.

"Kita difahamkan aktiviti melombong masih di peringkat awal (dipercayai masih baharu) dan telah dilakukan oleh 10 hingga 15 individu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Rondaan itu dilakukan pasukan penguatkuasaan diketuai Penolong Pemelihara Hutan Kanan I, Ahmad Aizuddin Hashim bersama 12 kakitangan termasuk anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Timur.

Shairani menjelaskan, pihaknya gagal mengesan mereka yang menjalankan aktiviti melombong secara haram itu kerana mereka sempat bersembunyi di dalam hutan.

Katanya, pemeriksaan di kawasan lombong terbabit telah menemui tiga lori dan empat jengkaut yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan membersih kawasan serta memindahkan bahan galian di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menyita tujuh jentera dan disimpan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP di Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Temerloh," ujarnya.

Sementara itu, Shairani berkata, Hutan Simpan Ibam menjadi tumpuan kegiatan melombong bijih besi dan emas, justeru, rondaan oleh anggota penguat kuasa JPNP Pahang Timur dan Unit Tindakan Khas PHD Rompin dilakukan dari masa ke semasa.

Bagaimanapun, pihaknya mengharapkan kerjasama orang awam untuk memberi maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang terutama membabitkan kawasan hutan simpan di daerah ini.

"Selain kegiatan melombong, aktiviti pemindahan balak tanpa permit turut dikesan, namun kini kegiatan berkenaan semakin berkurangan hasil pelbagai operasi yang diadakan sepanjang tahun," katanya.

Habis#