X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

PRN Melaka perlu ambil kira sentimen, emosi rakyat

Mujibu
A
A

SHAH ALAM - Beberapa penganalisis politik berpendapat pemimpin perlu mengambil kira sentimen dan emosi rakyat jika mahu melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam masa terdekat.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, pilihan raya memang boleh dilaksanakan tetapi perlu melihat sama ada rakyat benar-benar bersedia.

“Adakah kita sampai tidak boleh tunggu mandat ini berakhir ataupun membiarkan sahaja pertukaran kerajaan kerana tinggal lebih kurang setahun enam bulan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Berdasarkan tinjauan kira-kira 95 peratus penduduk Melaka tidak bersetuju dengan keadaan ini dan berpendapat sekarang bukan waktu yang sesuai untuk memikirkan soal politik.

“Mereka merasakan kerajaan yang ada patut menghabiskan masa dan tenaga memikirkan cara memulihkan kembali ekonomi. Paling penting rakyat juga trauma dengan apa yang berlaku semasa PRN di Sabah hingga menjadikan kes Covid-19 di Malaysia semakin teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-296 bertajuk ‘Jebat Vs Tuah Pasca Pandemik’ yang disiarkan menerusi di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh; Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Alor Gajah, Datuk Ginie Lim Liew Sin juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, sepatutnya krisis itu diselesaikan di peringkat dalaman kerana jelas masalah berkenaan berpunca daripada parti sendiri.

“Barangkali Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) boleh memainkan peranan kerana mereka sudah berada dalam kerajaan, jadi ada kelebihan, sumber, cara dan pengalaman tertentu bagi memujuk serta mengelakkan PRN daripada berlaku.

“Tetapi apabila sudah dibubarkan dan diterima sama ada di peringkat istana atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka kita tidak ada pilihan lain selain melakukan PRN,” ujarnya.

Beliau menambah, pengajaran terbesar berdasarkan krisis di Melaka menunjukkan betapa politik negara amat memerlukan akta lompat parti atau pilihan raya bagi memecat wakil rakyat (recall election) dilaksanakan dengan segera.

“Kita telah menyaksikan bagaimana pertukaran dan peralihan kepimpinan telah mengganggu gugat sedikit sebanyak perjalan kerajaan apatah lagi ia berlaku pada waktu yang tidak sesuai ketika kita masih bergelut dengan pandemik dan juga tekanan ekonomi,” jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!