Mesyuarat kabinet tentukan PRN Melaka

Keputusan PRN Melaka dijangka diumumkan selepas perkara tersebut dibentang dalam Mesyuarat Kabinet pada hari ini. Foto hiasan
Keputusan PRN Melaka dijangka diumumkan selepas perkara tersebut dibentang dalam Mesyuarat Kabinet pada hari ini. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diumumkan selepas perkara tersebut dibentang dalam Mesyuarat Kabinet pada hari ini.

Pada ketika ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menunggu keputusan kabinet sebelum memutuskan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian untuk pelaksanaan PRN Melaka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perbincangan di peringkat kabinet adalah perlu memandangkan pelaksanaan PRN itu melibatkan faktor kesihatan, perundangan dan perlembagaan.

Krisis politik Melaka yang menjurus kepada idea pelaksanaan PRN menyebabkan pelbagai pihak melahirkan kebimbangan mengenai perkara berkenaan kerana boleh mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini seperti mana yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini.

Ia sekali gus berpotensi menjejaskan aktiviti sosial dan ekonomi negeri yang kini berada pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kegusaran itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang akbar pada Khamis.

Ujar beliau, UMNO tidak menolak kemungkinan akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRN Melaka.

Ahmad berkata, perkara tersebut diyakini akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) turut memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytihar proklamasi darurat di Melaka.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad berkata, ini bagi membolehkan penangguhan PRN sehingga ke tarikh yang sama apabila Dewan Rakyat dibubarkan di peringkat Persekutuan kelak.

Menurutnya, ia juga bagi memastikan segala rencana pergerakan di seluruh negeri dapat diseragamkan termasuklah aspek SOP di seluruh negara.

Untuk rekod, krisis politik yang berlaku di Melaka susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebelum ini, Sulaiman menerima sokongan 17 ADUN (14 UMNO, dua Bersatu dan satu Bebas) berbanding 11 wakil PH daripada 28 kerusi dalam sidang DUN.

Sejumlah 15 sokongan diperlukan untuk majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.