Harga purata ayam RM8.70 sekilogram

Harga purata nasional ayam bersih standard adalah sekitar RM8.70 sekilogram berbanding RM10.00 sekilogram dan ke atas pada awal September. Gambar hiasan
Harga purata nasional ayam bersih standard adalah sekitar RM8.70 sekilogram berbanding RM10.00 sekilogram dan ke atas pada awal September. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga purata nasional ayam bersih standard adalah sekitar RM8.70 sekilogram berbanding RM10.00 sekilogram dan ke atas pada awal September.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, harga tersebut diperoleh daripada data dan trend harga ayam yang dikeluarkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pada September sehingga Oktober.

"Hasil pemeriksaan pada 4 Oktober 2021 pula, hanya dua daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, KPDNHEP memaklumkan, harga purata nasional telur ayam gred A bagi 30 biji adalah RM13.20, gred B RM12.40 dan gred C RM11.80.

"Pemeriksaan telur ayam mendapati 162 daripada 418 premis masih menjual melebihi harga purata gred A, 408 premis menjual telur ayam melebihi harga gred B dan 337 premis menjual telur ayam melebihi gred C," katanya.

KPDNHEP berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan dan semangat Keluarga Malaysia dalam menstabilkan harga ayam dan telur di pasaran.

"Melalui semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, KPDNHEP telah mendapat kerjasama daripada semua ‘ahli keluarga’ industri ayam dan telur untuk melihat semula kos serta keuntungan di setiap peringkat rantaian.

"Semua pemain industri bersetuju kepada margin yang munasabah dalam menentukan harga berpatutan di peringkat runcit buat masa ini sehingga harga import makanan ternakan ayam kembali stabil," katanya.

Artikel Berkaitan: