Kerajaan Kedah digesa salur bantuan kewangan kepada maahad tahfiz

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah perlu segera menyalurkan bantuan kewangan kepada semua maahad tahfiz di negeri ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kebanyakan maahad tahfiz di Kedah ketika ini berdepan kewangan yang meruncing untuk terus beroperasi dan berisiko gulung tikar.

Beliau berkata, untuk tempoh jangka panjang, kerajaan negeri perlu merangka pelan pembangunan institusi tahfiz di negeri ini secara lebih sistematik agar usaha melahirkan legasi agamawan berkualiti diteruskan.

“Masalah terbesar dihadapi maahad tahfiz di negeri ini ialah aliran tunai yang terjejas teruk iaitu sekitar 50 hingga 70 peratus penyusutan pendapatan untuk beroperasi.

“Mapim berharap kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan bantuan kewangan untuk membiayai keperluan perbelanjaan, pengurusan dan tenaga pengajar semua institusi tahfiz yang berdaftar termasuk pusat tahfiz yang dalam proses untuk mendaftar,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah agama 'tenat', perlu peruntukan lebih besar

Mohd Azmi berkata, bantuan wajar disalurkan bagi tempoh tertentu yang difikirkan munasabah sehingga pengusaha maahad tahfiz dapat kembali berdikari seperti sebelum pandemik.

“Kami mengesyorkan agar penambahbaikan dilakukan terhadap institusi tahfiz di Kedah bukan sahaja dari aspek prasarana tetapi yang lebih penting adalah pengurusan dan kebajikan tenaga pengajar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan data daripada Persatuan Maahad Tahfiz Kedah Darul Aman (Petanda), terdapat seramai 5,457 pelajar dan 775 guru di institusi tahfiz yang berdaftar di negeri ini.

“Berdasarkan maklumat itu, sebanyak 20 peratus institusi tahfiz terpaksa memberhentikan pekerja dan guru akibat sumber kewangan yang terhad.

"Sebanyak 15 peratus institusi tahfiz swasta pula tidak dapat membayar gaji guru dan kakitangan dan 60 peratus lagi hanya dibayar separuh gaji,” jelas beliau.

Mohd Azmi berkata, dianggarkan 70 peratus maahad tahfiz di negeri ini hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya tiada bantuan disalurkan.

“Difahamkan, terdapat 91 buah maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), sementara banyak lagi yang masih dalam proses untuk mendaftar.

"Kebajikan pengurusan dan tenaga pengajar maahad tahfiz sewajarnya diberikan perhatian kerana ia melibatkan masa depan institusi pendidikan Islam,” katanya.

Tambah beliau, walaupun institusi tahfiz dikelolakan secara persendirian dan organisasi bukan kerajaan serta tidak tergolong dalam institusi pendidikan perdana, namun ia tetap menyumbang kepada kesejahteraan negara dari aspek kualiti golongan agamawan.

“Malah kecenderungan masyarakat kini memilih institusi tahfiz sebagai institusi untuk mendidik anak-anak harus dilihat secara positif. Sudah tiba masanya institusi ini diberikan penambahbaikan sewajarnya seiring dengan peredaran zaman,” kata beliau.