Fahami maksud di sebalik stiker sebelum tampal pada kenderaan

Pelekat kenderaan atau stiker P JPJ hangat dijual di laman e-dagang dari China, Taobao.com.
Pelekat kenderaan atau stiker P JPJ hangat dijual di laman e-dagang dari China, Taobao.com.
A
A
A

MERAK Jalanan tertarik dengan satu artikel yang mendakwa pelekat kenderaan atau stiker P Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hangat dijual di laman e-dagang dari China, Taobao.com. Ia dijual dengan harga AS$4.49 (RM18.77) sekeping, lebih mahal berbanding pelekat sama yang boleh didapati di Malaysia serendah RM1.50 sekeping.

Tak pasti apa tujuan dijual di luar negara, namun difahamkan ada antara mereka membelinya kerana tersalah anggap ia seperti pelekat Model Domestik Jepun (JDM) yang menjadi trend pemilik kereta.

Penjualan stiker P dan logo JPJ di luar negara menjadi bahan bualan netizen Malaysia. Kalau di Malaysia ada pemandu malu nak lekatkan stiker P di kereta kerana tidak mahu orang lain tahu dia baru dapat lesen memandu, tapi rakyat luar negara nampaknya bangga menggayakan pelekat tersebut.

Tidak salah kalau orang luar negara jadikan stiker P Malaysia sebagai hiasan di kereta mereka. Orang Malaysia pun apa kurangnya, ada yang melekatkan stiker Shoshinsha yang digunakan di Jepun pada kereta mereka. Kalau di Jepun, fungsi stiker itu sama dengan pelekat P iaitu pemandu masih dalam tempoh percubaan.

Di Jepun terdapat tiga lagi stiker khas iaitu bagi mewakili pemandu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pemandu mempunyai masalah pendengaran.

Bagi Merak Jalanan, nak tampal apa-apa pelekat, itu hak masing-masing. Ia tidak menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya pun.

Cuma Merak Jalanan nak nasihatkan kepada anak-anak muda atau mereka-mereka yang minat menghias kenderaan dengan stiker terutama logo dari luar negara supaya mengetahui maksud di sebalik pelekat tersebut terlebih dahulu.

Bukan apa, takut nanti tersilap lekatkan stiker yang membawa maksud tidak sepatutnya. Konon-konon nak ikut trend, tapi jadi bahan netizen pula. Lebih membimbangkan kalau tersilap tampal stiker yang membawa maksud tidak elok.

Artikel Berkaitan: