RCI siasat pendedahan Tommy perlu dibawa ke Kabinet

Wan Junaidi ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Wan Junaidi ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara akan di bawa kepada Jemaah Menteri untuk dinilai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana syor itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Pentadbiran negara di bawah Perlembagaan dan Jemaah Menteri.

"Saya tidak boleh menjawab kalau tiada arahan daripada Jemaah Menteri. Itu Perlembagaan.

"Jadi, Yang Berhormat, saya juga akan bawa (cadangan tubuh RCI siasat pendedahan Tommy) sama ada perlu atau tidak dalam penilaian kerajaan untuk mengadakan RCI siasat pendedahan Tommy," katanya dalam sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan bersetuju untuk mewujudkan RCI bagi menyiasat pendedahan Tommy itu.

Pada Isnin, Azeez mengesyorkan kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat pendedahan Tommy mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara supaya dapat merungkai masalah membabitkan integriti itu.

Beliau berkata, penubuhan RCI itu perlu bagi membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar mengenai pendakwaan yang dilakukan oleh Tommy ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya membabitkan pemimpin UMNO.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, RCI itu membolehkan siasatan dilakukan berhubung tindakan Tommy menggugurkan 15 kes ketika zaman PH yang turut melibatkan pimpinan kerajaan ketika itu.

Pada awal tahun ini, Tommy dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ membuat pendedahan menggemparkan mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara.

Selain itu, dalam buku sama, beliau turut mendedahkan bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad mengkhianati rakannya dalam PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng.