Nufam perjuang isu kelewatan gaji kru kabin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa pihak kerajaan campur tangan isu kelewatan pembayaran gaji melibatkan pekerja kru kabin.

Menurut Nufam, kerajaan diminta meneliti semula polisi bayaran gaji di syarikat penerbangan kerana dimaklumkan sebahagian besar kru kabin belum menerima gaji selama beberapa bulan.

Tindakan itu adalah melanggar undang-undang buruh. Syarikat penerbangan seharusnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dalam isu bayaran gaji kepada pekerja.

"Segelintir syarikat penerbangan memberi alasan tidak memperoleh keuntungan walhal, mereka mampu pula menaja program bernilai berpuluhan juta ringgit.

"Adakah ini satu tindakan bijak? Mereka sanggup memberikan wang kepada pihak lain berbanding menjaga kebajikan pekerja sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, bagi menyelesaikan masalah dan memastikan kebajikan kru kabin dijaga, Sekretariat Nufam bertindak menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran pada mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.

Selain memperjuangkan isu kelewatan gaji, Nufam turut meminta gaji kru kabin dibayar setaraf dan setimpal mengikut harga pasaran.

Jelasnya, masih terdapat syarikat penerbangan membayar gaji pokok sebanyak RM1,000 walaupun telah lama beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Bayaran (gaji pokok) ini disifatkan tidak adil memandangkan pekerja hari ini berdepan kos sara hidup yang tinggi termasuk kos perbelanjaan perjalanan ke tempat kerja.

"Dimaklumkan juga isu pekerja mengalami kecederaan dan kemalangan ketika dalam perjalanan tempat kerja gara-gara pihak syarikat menghubungi bertugas pada saat-saat akhir," ujarnya.