Rosmah dakwa Rizal Mansor berkomplot dengan AGC

Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi prosiding bela diri kes tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi prosiding bela diri kes tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah beliau yang melibatkan projek solar telah berkomplot dengan bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor untuk membabitkannya meskipun mengaku tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC), Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bagi mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudian memperkenal Rosmah, 69, kepada tujuh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kesnya sebelum prosiding mahkamah hari ini dan beliau berkata “Saya hanya kenal kebanyakan mereka di mahkamah.”

Antara Timbalan Pendakwa Raya yang diperkenal oleh Sri Ram ialah Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, Poh Yih Tinn dan Nadia Mohd Izhar.

Rosmah kemudian menyoal mengapa Sri Ram tidak memperkenal dirinya dan beliau menjawab “kerana saya bukan dari AGC.”

Sebagai respons, Rosmah berkata “tapi anda telah dilantik (oleh AGC). Anda memiliki fiat (surat kuasa)” namun Sri Ram hanya berkata “mari kita teruskan kes ini.”

Sri Ram: Pembelaan anda ialah mereka (Rizal dan pegawai AGC) membina satu kes palsu untuk membabitkan anda.

Rosmah: Betul.

Rosmah bagaimanapun tidak bersetuju bahawa tidak ada asas untuk Rizal berkomplot dengan AGC dalam memberikan keterangan palsu terhadap beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya yang membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Terdahulu, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata Rizal adalah seorang pekerja yang tidak cekap namun perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan secara terus kepada bekas pembantunya itu sebaliknya beliau memaklumkan pegawai khas Najib iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

“Ketika dia mula-mula bekerja dengan saya, dia telah ditugaskan untuk menulis teks ucapan. Bahasa dan kandungannya amat hambar, ia bukan jenis ucapan yang sepatutnya disampaikan oleh isteri seorang perdana menteri,” katanya.

Rosmah juga berkata beliau bukanlah individu yang memberikan gelaran ‘Datuk’ kepada Rizal namun telah membantu mencadangkan namanya kepada Sekretariat Negeri Pahang atas dasar kasihan.

Sri Ram: Tapi cadangan anda telah diterima.

Rosmah: Mungkin kerana saya adalah isteri PM.

Kepada soalan berikutnya, Rosmah menafikan bahawa beliau mempunyai tabiat meminta orang lain “melakukan tugasan bagi pihaknya” apabila menginginkan sesuatu.

Sri Ram kemudian memberikan contoh ketika Rosmah meminta kenalannya Aizulhaimi Mohd Termizi membuat laporan polis bagi pihaknya sebelum ini, yang dinafikan tertuduh dan beliau berkata “Saya tidak meminta tetapi beliau yang mencadangkannya kepada saya (untuk membuat laporan polis),”

Sri Ram: Itulah yang saya maksudkan, ia sama seperti ketika anda mahukan wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin namun anda memintanya melalui Rizal.

Rosmah: Saya tidak bersetuju.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek hibrid solar secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 21 Oktober depan. - Bernama