Fasa Empat PPN 'lampu hijau' ditunggu-tunggu pengusaha majlis

Pengendali acara di Pahang kini mampu menarik nafas lega apabila majlis sosial mungkin dibenarkan apabila Pahang beralih ke Fasa Empat PPN, bermula Jumaat. - Gambar hiasan
Pengendali acara di Pahang kini mampu menarik nafas lega apabila majlis sosial mungkin dibenarkan apabila Pahang beralih ke Fasa Empat PPN, bermula Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Selepas ‘berehat’ panjang susulan wabak Covid-19, pengendali acara di Pahang kini mampu menarik nafas lega apabila majlis sosial mungkin dibenarkan apabila Pahang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula Jumaat.

Tidak sabar memulakan ‘aksi’, pengusaha majlis, Azri Che Mukhtar, 32, berkata, segala perancangan untuk memulakan operasi dari segi prosedur operasi standard (SOP) sudah dibuat dengan mengambil beberapa langkah tambahan sendiri.

Menurut beliau yang sudah lebih tiga tahun mengusahakan perniagaan itu, setakat ini pihaknya sudah menerima puluhan tempahan, antaranya penganjuran majlis perkahwinan dan graduasi yang bakal berlangsung sekitar November dan Disember ini.

Katanya, mereka turut berhubung dengan rakan-rakan di Negeri Sembilan yang terlebih dahulu telah beralih ke Fasa Empat untuk bertanya langkah yang ditambah baik dalam menganjurkan majlis.

“Tentunya kami berasa lega dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan semalam, bagaimanapun kami masih menanti SOP rasmi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang untuk dipatuhi. Selain itu, jika dilihat SOP majlis sosial sebelum ini, hanya 50 peratus kehadiran daripada kapasiti ruang, jadi kami putuskan hanya akan terima kehadiran tetamu 40 peratus daripada kapasiti dewan.

“Malah, kedudukan meja akan dijarakkan sejauh 2.5 meter selain melakukan proses sanitasi selepas setiap majlis tamat dan menambah bilangan pekerja untuk memantau serta melaksanakan SOP,” kata pengusaha CMi Hall Event Space itu ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Perincian mengenai SOP Fasa Empat PPN di Pahang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, penganjur majlis perkahwinan Rahimah Husin, 42, berkata, 'lampu hijau' yang diberikan kerajaan bagi mengadakan majlis sosial amat menggembirakan beliau dan pekerjanya setelah setahun lebih tidak dapat turun padang bagi mengendalikan majlis.

Artikel Berkaitan:

Pengurus di Seri Andaman 3R itu turut berharap kerjasama daripada ‘tuan rumah’ termasuk tetamu yang hadir untuk sama-sama mematuhi SOP ketat yang ditetapkan.

“Kami juga akan meminta tuan rumah menandatangani perjanjian iaitu mereka perlu memastikan antaranya tetamu tidak bersembang dalam jarak dekat, tiada acara merenjis dan bersalaman, malah kami juga akan memohon bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk memantau SOP.

“Syukur kami akan dibenarkan menjalankan perniagaan semula selepas pendapatan terjejas teruk di samping perlu memulangkan kembali deposit pelanggan yang membatalkan majlis resepsi mereka, dan saya berharap kelonggaran menganjurkan majlis sebegini dikekalkan dan tidak ditarik semula,” katanya.

Pengusaha katering, Nurul Atiqah Norhisham, 27, pula berkata, kebenaran mengadakan majlis sosial turut memberi tempias kepadanya untuk menjana pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Sebelum ini, saya hanya menerima tempahan pelanggan yang inginkan makanan yang dibungkus siap untuk majlis akad nikah mereka, jumlah biasanya tidak banyak kerana kehadiran tetamu dihadkan.

“Tapi Alhamdulillah majlis perkahwinan dah boleh diadakan dan saya telah menerima beberapa tempahan bagi kenduri yang akan berlangsung pada Disember nanti,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak tiga tahun lepas.

Selepas Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan, kerajaan mengumumkan Pahang akan memasuki Fasa Empat PPN bermula Jumaat. - Bernama