Molnupiravir percuma kepada pesakit bergejala, kategori tiga ke atas
KUALA LUMPUR - Ubat antiviral Molnupiravir akan diberikan secara percuma kepada pesakit Covid-19 yang bergejala sekurang-kurangnya lima hari atau pesakit kategori tiga, empat dan lima, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, meskipun peratusan lengkap vaksinasi populasi dewasa sudah menghampiri 90 peratus, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jangkitan virus itu masih berlaku.
"Kita perlukan pil rawatan ini, di samping kita buat program vaksinasi. Kita mendapati dengan pil ini kita beri pilihan kepada doktor untuk memberikannya kepada mereka yang tidak divaksin dan sudah divaksin. Ia diberi secara percuma.
"Ujian klinikal Merck Sharp & Dohme ini menunjukkan keberkesanan untuk merawat kategori tiga, empat dan lima terutamanya mereka yang bergejala empat ke lima hari," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Kerajaan melalui KKM pada Khamis dilaporkan menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu dalam melawan Covid-19.
Menerusi perjanjian bersama Merck Sharp & Dohme itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit Covid-19.
Selain itu, ia turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!