Kajian akta dana politik fokus sumbangan telus, akauntabiliti

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian berhubung pewujudan rang undang-undang dana politik sedang dilaksanakan dengan memberi fokus kepada aspek pengawalseliaan sumbangan politik yang berteraskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian mengenai akta itu juga akan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan bagi memastikan mekanisme pelaksanaan yang berkesan.

“Berdasarkan Laporan Semakan Semula Separuh Penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, Inisiatif untuk mengkaji penggubalan rang undang-undang baharu berkaitan sumbangan dana politik ini diberi tempoh masa bermula Januari 2021 hingga Disember 2022.

“Sekiranya ia bersesuaian selepas mengambil kira pandangan daripada pihak berkepentingan, ia akan dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Antirasuah (JKKMAR) serta ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan tertakluk kepada dasar kerajaan semasa,” katanya semasa menggulung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengenai cadangan mewujudkan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK), Wan Junaidi berkata, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan akan menitikberatkan penubuhan Mahkamah JSKK dalam projek mahkamah yang baharu dan akan datang.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan hasrat Badan Kehakiman Malaysia untuk memberikan akses kepada keadilan untuk semua lapisan masyarakat dan penyelesaian kes-kes JSKK.

“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan ini juga akan sentiasa memantau pendaftaran dan peningkatan kes Mahkamah JSKK bagi menentukan keutamaan untuk memperluaskan penubuhan Mahkamah JSKK,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: