X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Draf RUU dana politik sudah tersedia

Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyediakan draf Rang Undang-undang (RUU) Akta Pembiayaan Dana Politik dan kini ke arah peringkat sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara sebanyak dua kali berhubung usaha untuk melaksanakan RUU berkenaan.

Menurutnya, perlaksanaan RUU berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh agar memenuhi cita rasa semua pihak di negara ini.

“Pada masa sekarang, draf sudah sedia tetapi belum dibuat libat urus dengan semua pihak berkepentingan. Libat urus ini perlu kerana implikasinya banyak.

“Saya juga sebagai seorang pengkaji dana politik ini pada 2001, saya mengkaji dana politik di Amerika Syarikat (AS) dan banyak kelemahan-kelemahan didapati dalam undang-undang politik di AS.

“Orang kaya boleh guna duitnya sendiri tetapi tidak dipersoalkan tetapi yang kurang berkemampuan dan mendapat derma daripada pihak persendirian, itu yang perlu dikawal selia.

“Maknanya, politik hanya untuk orang kaya, bukan lagi untuk yang sederhana berkemampuan yang minat bermain politik,” katanya ketika Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang bangkit mencelah kerana mahu kata putus bilakah RUU Akta Pembiayaan Dana Politik akan dibentangkan berikutan kebimbangan terhadap pelbagai masalah baharu yang akan timbul sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) berlaku sebelum akta tersebut dibentangkan.

Sebelum itu, menjawab cadangan yang dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika sesi perbahasan RMK12, Wan Junaidi menegaskan, kerajaan komited untuk meneruskan inisiatif berkaitan perundangan pembiayaan dana politik.

Ujarnya, kajian berhubung pewujudan rang undang-undang baharu tersebut sedang dilaksanakan dengan memberi fokus kepada aspek pengawalseliaan sumbangan politik berteraskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Akta yang sedang dalam kajian ini juga akan mengambil kira pandangan pemegang taruh bagi memastikan mekanisme pelaksanaan yang berkesan.

“Berdasarkan Laporan Semakan Semula Penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP), inisiatif untuk mengkaji penggubalan rang undang-undang baharu berkaitan sumbangan dana politik ini diberi tempoh masa bermula Januari 2021 hingga Disember 2022.

“Sekiranya ia bersesuaian selepas mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh, ia akan dibawa kepada Mesyuarat JKKMAR serta ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan tertakluk kepada dasar kerajaan semasa,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!