Jamil Kucing gesa Selcat adakan sesi pendengaran awam

Jamil (kanan) bersama wakil Otai Reformis menyerahkan memorandum kepada wakil Suee Lim (tiga, kiri) meminta Selcat mengadakan sesi pendengaran awam berkaitan kes rumah kucing terbabit.
Jamil (kanan) bersama wakil Otai Reformis menyerahkan memorandum kepada wakil Suee Lim (tiga, kiri) meminta Selcat mengadakan sesi pendengaran awam berkaitan kes rumah kucing terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor digesa untuk mengadakan sesi pendengaran awam berhubung kes taman rekreasi kucing yang kini dijadikan pusat khidmat DUN Bukit Antarabangsa.

Aktivis Penyelamat Kucing, Jamil Ismail atau Jamil Kucing berkata, dia bersama Kumpulan Otai Reformis mahu sesi pendengaran awam itu dilaksanakan segera kerana percaya berlaku salahguna di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), selain terdapat campur tangan politik dalam isu tersebut.

Sebelum ini katanya, dia sudah beberapa kali cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan tentang kenapa tapak seluas 0.8 hektar di Jalan Kerja Lama, Ampang yang sepatutnya diajdikan taman rekreasi kucing itu ditukar menjadi pusat khidmat DUN terbabit.

Menurutnya, jawapan diperoleh khususnya daripada MPAJ sangat mengecewakan kerana alasan diberikan terdapat bantahan orang awam menyebabkan operasi taman rekreasi itu tidak boleh diteruskan.

"Malah, MPAJ hanya maklumkan melalui surat pada tahun lalu bahawa tapak berkenaan yang mengandungi lapan buah rumah kucing itu tidak jadi diserahkan kepada saya.

"Selepas itu, papan tanda taman rekreasi kucing yang diletakkan di tapak terbabit juga ghaib dan diletakkan pula papan tanda pusat khidmat Dun tersebut," katanya yang terkilan apabila usahanya selama tiga tahun untuk menempatkan kucing terbiar tidak diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, jika benar terdapat bantahan orang awam sepatutnya ia berlaku dalam tempoh tiga bulan selepas rumah kucing yang dibangunkan di situ siap tahun lalu.

Jamil menunjukkan surat yang diserahkan bersama memorandum kepada wakil Suee Lim di Pejabat SUK hari ini.
Jamil menunjukkan surat yang diserahkan bersama memorandum kepada wakil Suee Lim di Pejabat SUK hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Tapi tiada bantahan awam berlaku mahupun kain rentang dipasang... Malah saya terima respon positif tentang taman rekreasi ini dari empat facebook milik saya. Jadi alasan MPAJ ini sangat meragukan, "katanya.

Terdahulu, Jamil bersama Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail ditemui pemberita di luar perkarangan Pintu 1 Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Jamil berkata, usahanya memanjangkan perkara tersebut kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han pada Oktober tahun lalu juga menemui jalan buntu.

Katanya, tiada tindakan diambil Adun berkenaan sehingga kini.

"Sebab itu saya dan Otai Reformis sepakat untuk datang ke Pejabat SUK hari ini dan menghantar satu lagi memorandum kepada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim untuk minta Selcat adakan pendengaran awam tersebut.

"Kami berharap akan memperoleh maklum balas positif kerana apa yang berlaku jelas disebabkan permainan politik.

"Peruntukan sudah diberikan kerajaan negeri sebanyak RM220, 000 untuk bangunkan semula bangunan terbiar di tapak itu untuk dijadikan rumah kucing tapi kenapa bila dah siap, MPAJ tak jadi nak serah pula?, "katanya.

Katanya, beliau berharap apa yang berlaku dapat diselesaikan kerana rumah kucing di tapak tersebut sepatutnya dapat menempatkan sebanyak 120 ekor kucing terbiar dalam jagaannya termasuk yang baharu diselamatkan.

"Sekarang saya terpaksa sewa dua rumah untuk tempatkan kucing-kucing ini dengan kos sewa bulanan sebanyak RM3, 000... Tapi saya tiada pilihan,"katanya.