15 subkontraktor KDEBWM terima sijil ISO

Ramli (kanan) menyampaikan sijil kepada wakil syarikat Mofiz Resources pada Majlis Penganugerahan Sijil ISO 9001:2015 kepada Subkontraktor Lantikan KDEBWM di sini.
Ramli (kanan) menyampaikan sijil kepada wakil syarikat Mofiz Resources pada Majlis Penganugerahan Sijil ISO 9001:2015 kepada Subkontraktor Lantikan KDEBWM di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 15 subkontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) di bawah seliaan cawangan Petaling Jaya dan Subang Jaya menjadi kumpulan perintis yang menerima anugerah pensijilan ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) pada Khamis.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir menyifatkan pensijilan ISO9001:2015 QMS yang diterima subkontraktor terbabit adalah sesuatu yang amat bermakna bagi KDEBWM.

Menurutnya, anugerah berkenaan membuktikan komitmen tinggi KDEBWM selaku syarikat pengurusan sisa pepejal pintar dalam memastikan kerja-kerja kutipan sisa domestik dilaksanakan dengan baik dan mengikut piawaian dalam memelihara kebersihan di Selangor.

Malah, Ramli berkata, penganugerahan yang diterima subkontraktor terbabit sebagai pemangkin bagi KDEBWM untuk terus memberikan komitmen terbaik kepada rakyat di negeri Selangor khususnya.

"Saya difahamkan 15 subkontraktor ini telah menjalani tiga fasa pengauditan iaitu penyediaan dan pematuhan dokumen, aktiviti audit dalaman dan aktiviti audit luaran sekaligus melayakkan mereka untuk memperoleh pensijilan ISO 9001:2015 bagi skop kerja-kerja kutipan sisa domestik.

"Syabas diucapkan kepada kesemua syarikat atas kerjasama dan usaha dalam memperoleh pensijilan ini. Saya percaya mereka akan menjadi contoh terbaik kepada semua subkontraktor lain yang akan turut menjalani proses pengauditan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil ISO 9001:2015 di lbu Pejabat KDEBWM di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ramli (duduk tengah) bersama penerima sijil pada Majlis Penganugerahan Sijil ISO pada Khamis.
Ramli (duduk tengah) bersama penerima sijil pada Majlis Penganugerahan Sijil ISO pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat, Ahmad Rizal Mohd Daud; Pengurus Besar Operasi, Mohd ldris Mohamed Yusof serta Penolong Pengurus Besar Pelaksana Projek, Ahadi Mohd Nasir.

Sesi pengauditan yang melibatkan 15 subkontraktor itu dijalankan Syarikat Vincere Consultant Sdn Bhd, manakala pensijilan yang diberikan diperakui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Pensijilan ISO 9001:2015 yang merujuk kepada pengurusan kualiti ini merupakan satu bentuk pengiktirafan bertaraf antarabangsa terhadap pematuhan proses dan cara kerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) operasi dilaksanakan bagi meningkatkan kepuasan pelanggan.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pensijilan yang julung kali dilaksanakan itu akan diteruskan untuk keseluruhan subkontraktor lantikan KDEBWM di setiap cawangan di seluruh negeri Selangor.

Menurutnya, kejayaan itu adalah suatu penanda aras yang boleh diikuti lebih 1,000 subkontraktor KDEBWM yang lain dalam memastikan kerja-kerja kutipan domestik dan pembersihan awam dapat dijalankan mengikut standard operasi yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat.

"KDEBWM juga percaya pengiktirafan ini dapat mengukuhkan visi dan misi syarikat pengurusan sisa pepejal yang komited dalam mempromosikan persekitaran sihat dan bersih khususnya di Selangor selari dengan slogan KDEBWM Together We Keep Selangor Clean," jelasnya.