Pinda Perlembagaan Persekutuan bukan MA63

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hanya menumpukan kepada usaha meminda perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang relevan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukan meminda Perjanjian MA63.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MA63 merupakan perjanjian yang ditandatangani antara Britain, Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 9 Julai 1963 dan telah diiktiraf oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Susulan itu menurutnya, perjanjian ini tidak boleh diubah atau dipinda.

"Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan penting dalam memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak dapat dikembalikan seperti mana yang telah dipersetujui dalam perjanjian sewaktu menyertai Malaysia.

"Antara yang dilakukan adalah memperbetulkan perkara-perkara disebut dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah menimbulkan salah tafsiran kepada Perjanjian MA63," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pindaan perlu dibuat supaya selari dengan apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian MA63.

"Pihak kami juga berusaha untuk mengembalikan semula hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak yang telah terhakis berikutan daripada pindaan Perlembagaan atau penggubalan undang-undang baharu sejak tahun 1963," katanya.

Wan Junaidi berkata, kementeriannya akan merealisasikan apa yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya terutama di peringkat pelaksanaan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, isu berkenaan dengan Perjanjian MA63 ialah perkara yang dekat di hati dan telah lama menjadi topik perbincangan hangat di kalangan penduduk di Borneo.

"Namun begitu, untuk kali ini isu berkenaan diberikan tumpuan khusus daripada peringkat dasar kerana ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan.

"Ini jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan serta menerima hak yang sama seperti rakan-rakan di Semenanjung," katanya.

Rang Undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait MA63 akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Oktober ini.