X

Kindly register in order to view this article
!

Felda, jangan terus berselindung: Mazlan

A
A

SHAH ALAM - Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman menggesa pihak pengurusan Felda tidak terus berselindung dan tampil memberi penjelasan ke atas isu-isu berbangkit mengenai Felda kebelakangan ini.

Menurutnya, Felda tidak sepatutnya hanya memberikan alasan kerana berhadapan dengan masalah kewangan.

“Jika sebut (masalah kewangan) tiga empat bulan dulu, mungkin ya (boleh diterima), tetapi dalam keadaan 10 bulan kerajaan baharu ambil alih, Felda perlu beri penjelasan sejelasnya yang difahami oleh peneroka dan jangan sehingga ada pihak manipulasi, ini adalah salah kerajaan.

“Sekarang ini bagi peneroka, mereka menyalahkan kerajaan, walhal tanggungjawab ini adalah tanggungjawab Felda. Jadi kita minta penjelasan daripada Felda untuk nyatakan dengan terperinci sebab bayaran kepada peneroka, kontraktor dan koperasi tidak boleh dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, ratusan kontraktor diamanahkan mengangkut buah sawit dari ladang Felda kini berada dalam kesulitan kerana tidak menerima bayaran sejak lebih tiga bulan lalu.

Mereka mendedahkan, tidak mampu lagi membuat pusingan modal apabila tidak menerima bayaran sejak bulan Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Mazlan yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata, apabila penjelasan tidak diberikan Felda, masyarakat akan tuding kesalahan kepada kerajaan.

“Walhal kerajaan baru ambil alih 10 bulan, sedangkan pengurusan Felda diurus orang yang sama. Jika orang sama dan telah berurusan berpuluh tahun lamanya, takkan dengan begitu mudah katakan kita (Felda) tak ada duit, jadi kita tak boleh buat bayaran. Saya merasakan bahawa ini satu benda yang salah,” katanya.

Tambahnya, Felda turut dilihat cuba alihkan perhatian, dengan berikan beban kesalahan pada peneroka.

“Saya rasa itu tidak adil, kerana peneroka terikat dengan perjanjian dan mereka semua mematuhi segala perjanjian. Hatta pinjaman sara hidup yang termanya ada dalam perjanjian.

“Isunya sekarang segala bentuk perjanjian ini siapa yang tidak ikut? Adakah peneroka tidak ikut atau Felda gagal jalankan tanggungjawab sebagaimana dalam perjanjian,” katanya.

Mengulas mengenai pembentangan kertas putih berkaitan Felda yang akan dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen pada sesi akan datang ini, beliau berharap pembentangan itu turut menyatakan formula kepada isu Felda.

“Kita tahu pembentangan kertas putih akan membentangkan bukan sahaja salah laku, penyelewengan, integriti berkaitan Felda, tetapi saya harap pembentangan ini ada formula penambahbaikan Felda, termasuk pelan pemulihan di Felda.

“Ini yang nak didengar oleh peneroka. Apa pun bagi peneroka, 10 bulan bagi mereka sudah mencukupi untuk mendengar alasan daripada pihak kerajaan dan Felda, dan selepas tempoh itu, sekarang ini, jawapan apa yang mahu dilakukan oleh dua pihak itu,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!