Rosmah nafi beri gelaran ‘1st lady’ kepada diri sendiri

Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion- Foto Bernama
Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa beliau tidak pernah memberi gelaran ‘1st lady of’ Malaysia kepada dirinya sendiri.

Isteri bekas Perdana Menteri itu berkata demikian pada hari ketiga prosiding bela diri bagi tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Rosmah, 70 berkata, tiada sesiapa memberi gelaran itu, sebaliknya sekadar memudahkan urusan pentadbiran.

“Isteri Perdana Menteri sebelum ini tidak begitu aktif dalam aktiviti kebajikan dan tiada projek yang begitu menonjol seperti Permata Negara (projek kanak-kanak berbakat),” katanya.

Sri Ram: Mengenai penubuhan First Lady Of Malaysia (FLOM), jabatan itu cipta gelaran ‘1st lady’?

Rosmah: Saya tak tahu, bukan kerja saya, saya tak ganggu urusan pentadbiran Perdana Menteri.

Semasa prosiding, Rosmah juga ditanya mengenai gelaran ‘1st lady’ itu membabitkan ibu mertuanya, Allahyarham Tun Rahah Mohamed Noah dan isteri-isteri Perdana Menteri terdahulu.

Sri Ram: Isteri Tun Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Tun Dr M (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga tidak dipanggil ‘1st lady’.

Artikel Berkaitan:

Rosmah: Saya tak tahu, kalau bukan di sini, mungkin di luar negara mereka dipanggil ‘1st lady of’ Malaysia.

Sri Ram: Bagaimana pula isteri Tun Abdul Razak Tun Hussein On?

Rosmah: Ibu mentua saya?

Sri Ram: Ya. (Allahyarham) Tun Rahah Mohamed Noah juga tidak dikenali sebagai ‘1st lady’.

Rosmah: Saya tak pasti, masa itu saya belum kahwin dengan Najib (Datuk Seri Najib Razak)

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Prosiding bersambung 21 Oktober ini.