Pengunjung ke Terengganu perlu buat ujian saringan Covid-19

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan meletakkan syarat kepada orang ramai yang 'berhajat' untuk datang ke Terengganu selepas kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan agar mengambil ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum masuk ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, syarat ini diambil berikutan kebimbangan kerajaan negeri susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 terutama melibatkan varian Delta dan Beta di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, sejak akhir Jun sehingga Selasa, sebanyak 42 kes penularan varian Delta dan Beta sudah dikesan di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes membabitkan varian Delta dan sembilan lagi melibatkan varian Beta.

"Justeru,orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Mengulas lanjut, Alias berkata, orang ramai boleh mendapatkan khidmat ujian saringan tersebut sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan ke sini.

"Mereka juga boleh melakukan ujian saringan kendiri dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing.

"Tambahan pula harga kit ujian ini juga murah dan mudah didapati di farmasi hari ini, dengan harga sekitar antara RM16 hingga RM19.90 dan keputusan sama ada negatif atau positif boleh diketahui segera," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya keputusan ujian tersebut positif, pengunjung dinasihatkan menangguhkan perjalanan mereka kerana bimbang mereka berkemungkinan akan menjadi ejen pembawa kepada wabak Covid-19 sekaligus akan menyusahkan orang lain termasuk ibu, bapa dan keluarga.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kelonggaran rentas negeri akan dibenarkan sejurus populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus lengkap vaksinasi yang dijangka tidak berapa lama lagi.