22 ditahan ketika leka berparti liar

Kesemua ditahan untuk siasatan lanjut. (Kanan: Lima dari mereka adalah remaja bawah umur.)
Kesemua ditahan untuk siasatan lanjut. (Kanan: Lima dari mereka adalah remaja bawah umur.)
A
A
A

GEORGETOWN - 22 remaja termasuk lima yang masih bawah umur ditahan ketika sedang leka menghadiri parti liar di sebuah 'service apartmen' di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kesemua remaja tersebut ditahan dalam satu serbuan Ops Parti Liar oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut pada jam 2 pagi tadi.

Menurutnya, kesemua yang ditahan adalah 15 lelaki dan tujuh perempuan berusia lingkungan 20 an ketika sedang berparti yang diadakan di tingkat 17 apartmen berkenaan.

"19 daripada mereka positif dadah ketamin, syabu dan ekstasi. Daripada tangkapan itu, tiga lelaki dan dua perempuan adalah remaja bawah umur yang berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun.

"Pemeriksaan dibuat selepas polis menerima maklumat dan hasilnya, polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi daun-daun kering disyaki ganja, sepaket plastik lutsinar berisi lapan biji pil ekstasi dan sembilan paket plastik lutsinar berisi serbuk ketamin," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, kesemua dadah itu dijumpai di atas rak televisyen di ruang tamu apartmen tersebut.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama," katanya.

Artikel Berkaitan: