Kes pindah RM13 juta MBI Kedah di peringkat awal siasatan: SPRM

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Dakwaan kes melibatkan pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara masih di peringkat awal siasatan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, butiran tidak dapat didedahkan memandangkan kes terbabit masih dalam penelitian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, pihaknya mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

“Siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya didapati wujud unsur kesalahan bawah undang-undang berkaitan. Hal-hal berkaitan tidak dapat didedahkan kerana masih dalam peringkat awal siasatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Shaharom Nizam turut mengesahkan sehingga kini tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kes berkenaan, termasuk kerajaan negeri yang mendedahkan isu terbabit dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.

“Siasatan awal dibuat berdasarkan kepada dokumen diserahkan sebelum ini, SPRM Kedah juga belum menyoal siasat individu lain buat masa ini,” katanya lagi.

Pada 21 September, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta dimasukkan ke akaun bank di luar negara, berpangkalan di Kanada.

Beliau turut mendedahkan tiga slip transaksi bank berkaitan perkara itu dalam sidang media pada 23 September, namun tidak menyatakan pemilik akaun tersebut atau tujuan transaksi wang tersebut ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

Sehari selepas itu, SPRM Kedah memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Muhammad Sanusi bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan melakukan penelitian awal berhubung perkara itu.