ECRL: Dakwaan Tajuddin tiada kontraktor bumiputera kurang tepat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai penyertaan kontraktor bumiputera dalam Projek Laluan Rel Pantai timur (ECRL) adalah kurang tepat untuk mengatakan ia tidak wujud.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataannya memaklumkan, terdapat 81 buah syarikat majoriti bumiputera telah menyertai projek tersebut dengan nilai RM320 juta sejak 31 Ogos 2021.

Kementerian itu berkata, ia merupakan 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan bumiputera yang dirancang iaitu sebanyak RM3 bilion.

“Fakta ini harus dilihat dalam konteks kemajuan projek bernilai RM50.3 bilion tersebut seperti yang dimaklumkan oleh menteri di Parlimen semalam, yang pada masa ini berada pada kadar 23.96 peratus setakat 31 Ogos 2021.

“81 buah syarikat ini telah berjaya melepasi latihan pra-kelayakan yang dilakukan pada tahun 2017 dan 2019 serta memperoleh kontrak mereka secara kompetitif melalui tawaran dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

“Mereka merangkumi 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, MOT berkata, jumlah penyertaan kontraktor tempatan bagi projek ECRL mempunyai nilai sebanyak RM4.59 bilion dari jumlah yang dirancang sebanyak RM10 bilion (45.9 peratus) dengan 1,368 syarikat mengambil bahagian secara keseluruhan.

Menurutnya, kadar peratusan efektif penyertaan syarikat bumiputera dalam projek tersebut juga akan dinaikkan dari 30 peratus kepada 32.9 peratus di bawah Perjanjian Tambahan (SA) Nombor 6.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan komitmen kontraktor utama EPCC untuk meningkatkan peratusan penyertaan kontraktor bumiputera dan tempatan dalam projek mega ECRL.

“Ini juga adalah hasil daripada penubuhan Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor dan Bumiputera di dalam projek tersebut pada Oktober 2020 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Pengangkutan Malaysia, untuk memastikan penyertaan warga tempatan dan bumiputera.

“Secara keseluruhan MOT komited untuk meningkatkan dan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan agar mereka dapat berdaya saing dalam projek mega seperti ECRL yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan masa depan negara,” jelasnya.