X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

KTMB tambah tempat duduk laluan Tumpat-Dabong

KTMB akan gandakan kapasiti tempat duduk bagi laluan Tumpat-Dabong memandangkan statistik September lalu menunjukkan ia mengalami kenaikan sebanyak 300 peratus. - Gambar hiasan
A
A

KOTA BHARU - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menggandakan kapasiti tempat duduk bagi laluan Tumpat-Dabong memandangkan statistik September lalu menunjukkan ia mengalami kenaikan sebanyak 300 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya akan menggunakan set berkembar tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang boleh memuatkan seramai 416 penumpang berbanding 208 penumpang sebelum ini.

"Set khas ini akan digunakan bagi perkhidmatan Shuttle Timuran nombor 55 dan 56 untuk laluan Tumpat ke Dabong dan sebaliknya pada setiap hujung minggu.

"Ia melibatkan hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum. Tren ini akan mula beroperasi pada 8 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, penggunaan set DMU ini adalah bagi menampung permintaan yang tinggi terutamanya pada setiap hujung minggu dan hari kelepasan umum.

Beliau berkata, daerah Dabong yang kini menjadi fenomena membuatkan ramai ingin merasai pengalaman menaiki keretapi yang menawarkan pengalaman yang menarik, selesa dan keselamatan selain harga tiket yang berpatutan.

"Kami juga ingin mengingatkan orang ramai supaya duduk di tempat mengikut nombor yang tertera di tiket masing-masing memandangkan timbul rungutan daripada penumpang yang tidak dapat duduk di tempat mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan.

"Penumpang juga dinasihatkan untuk membeli tiket dua hala pergi dan balik serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak daripada kehabisan tiket.

"KTMB juga sentiasa memastikan tren-tren ini melalui proses sanitasi secara berkala bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penumpang ketika menaiki perkhidmatan itu," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan penumpang agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan selain memastikan mereka telah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 serta kad pengenalan sebagai bukti.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!