'Bukan waktu sesuai saya sertai mana-mana parti'

Norhizam
Norhizam
A
A
A

MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menyifatkan sekarang bukan waktu sesuai untuk beliau membuat keputusan menyertai mana-mana parti politik.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu diselesaikan segera agar rakyat tidak menjadi mangsa dalam kemelut yang berlaku.

Norhizam juga mendakwa kesal kerana keputusan beliau dan tiga bekas ADUN untuk bersama Pakatan Harapan (PH) tidak diadili setelusnya walaupun gabungan itu sudah mendapat majoriti sokongan ADUN bagi membentuk kerajaan negeri.

"Kita telah mendapat majoriti 15 ADUN tetapi kenapa kami yang diarahkan keluar dari Seri Negeri. Sepatutnya kami semua dipanggil menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam atau pertemuan secara maya.

"Kami membuat pengumuman (tarik sokongan) pada Isnin, namun menjadi tanda tanya ialah pada hari sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menghantar surat pembubaran DUN kepada Mohd Ali.

"Yang kami persoalkan ialah surat pembubaran itu kerana Mohd Ali sedang kuarantin kendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Bubar DUN Melaka: TYT Melaka didakwa ikut nasihat yang salah

Ditanya mengenai UMNO mengesyorkan darurat, beliau berkata, seharusnya kejatuhan PH Melaka pada Mac tahun lalu dijadikan sebagai rujukan dan sandaran bagi menyelesaikan konflik politik tercetus.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, Adly Zahari sebagai Ketua Menteri telah hilang sokongan majoriti dan meletakkan jawatan, manakala Datuk Seri Sulaiman Md Ali mendapat majoriti menjadi barisan kerajaan negeri baharu.

"Itu yang harus berlaku dalam situasi sekarang, bukannya kami yang diminta mengosongkan pejabat Exco sehingga Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) juga diambil balik dan ditutup.

"Ini pula enam Exco yang tiada majoriti masih memegang jawatan seperti biasa," katanya.

Pada Selasa, Mohd Ali bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pembubaran tersebut diumumkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media khas di Seri Negeri rentetan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.