Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemain korporat perlu utamakan penglibatan dalam menguruskan industri

Nanta ketika merasmikan 'Symposium On Cost Of Living (SCOL)' menerusi Facebook rasmi KPDNHEP pada Khamis.
Nanta ketika merasmikan 'Symposium On Cost Of Living (SCOL)' menerusi Facebook rasmi KPDNHEP pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemain korporat harus mengutamakan penglibatan atau peranan yang lebih bertanggungjawab dalam mengawal dan mengurus industri masing-masing bagi memastikan ia menjadi lebih sihat, sekali gus menghasilkan keseimbangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia termasuk keperluan untuk memperoleh keuntungan dengan tanggungjawab bagi memberikan yang terbaik kepada Keluarga Malaysia terutama rakyat sama ada dalam konteks pengguna mahupun pekerja.

“Sekiranya persekitaran ekonomi yang sihat dapat dicapai, saya percaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak perlu lagi melaksanakan kawalan harga sepanjang masa yang mana ia merugikan banyak pihak,” katanya ketika merasmikan 'Symposium On Cost Of Living (SCOL)' menerusi Facebook rasmi KPDNHEP pada Khamis.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin, serta Pengarah Eksekutif dan Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Profesor Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, perspektif kedua yang dapat dicapai menerusi simposium itu adalah rakyat perlu sedaya upaya mengubah mentaliti daripada penerima kepada pemberi.

Menurutnya, pendidikan perlu diterapkan supaya mereka hanya memerlukan bantuan pada tempoh yang diperlukan.

“Ia tidak semudah yang dirancang, namun sekiranya didikan ini dapat kita masukkan dalam semua minda sama ada penerima, pemberi mahupun pembuat polisi, saya percaya ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya kedua-dua perspektif tersebut dapat ditambah dalam penentuan kaedah atau polisi berkaitan kos sara hidup, maka kesannya akan lebih efektif.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, jurang antara kedua-dua ini juga akan diisi oleh tindakan-tindakan kerajaan dalam pelbagai bentuk termasuk bantuan secara terus kepada kumpulan sasar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nanta turut meminta agar semua pihak termasuk agensi kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dalam memastikan kemaslahatan rakyat diberi keutamaan bagi tempoh pandemik Covid-19.

“Input dan pandangan daripada simposium ini akan diangkat ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), seterusnya ke peringkat Jemaah Menteri untuk diteliti dan dilaksanakan oleh kementerian berkaitan,” katanya.