'Speedy Tigers' tunai misi balas dendam

Skuad senior hoki lelaki kebangsaan melunaskan misi balas dendam ke atas Ireland apabila catat kemenangan 4-2 dalam perlawanan ujian kedua di Kelab Hoki Lisnagarvey, Ireland Utara pada Rabu. - Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
Skuad senior hoki lelaki kebangsaan melunaskan misi balas dendam ke atas Ireland apabila catat kemenangan 4-2 dalam perlawanan ujian kedua di Kelab Hoki Lisnagarvey, Ireland Utara pada Rabu. - Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

SKUAD senior hoki lelaki kebangsaan melunaskan misi balas dendam ke atas Ireland apabila mencatat kemenangan 4-2 dalam perlawanan ujian kedua berlangsung di Kelab Hoki Lisnagarvey, Ireland Utara pada Rabu.

Malaysia tewas tipis 3-2 dalam perlawanan ujian pertama menentang pasukan sama, yang merupakan sebahagian daripada Siri Jelajah United Kingdom 2021 diharungi skuad ‘Speedy Tigers’ itu sejak 26 September lepas.

Pada perlawanan semalam, Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira apabila menyumbat dua gol buat negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11 dan ke-12.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menambah jaringan ketiga buat kem negara menerusi gerakan padang pada minit ke-15, sebelum Muhammad Najib Abu Hassan melengkapkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-22 juga menerusi jaringan padang.

Bagaimanapun, skuad bimbingan A Arulselvaraj itu terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Ireland pada minit ketiga menerusi gol padang Jeremy Duncan sebelum skuad negara bangkit menutup kelebihan gol pasukan lawan itu.

Dua minit sebelum perlawanan berakhir, Ireland menambah satu lagi gol berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan Luke Madeley dan keputusan kekal sehingga perlawanan berakhir.

Sementara itu, Arulselvaraj ternyata bangga dengan anak didiknya yang mengambil ikhtibar daripada kekalahan pada aksi pertama untuk lebih bersedia mencari kemenangan dalam aksi kedua bertemu Ireland.

“Satu persembahan yang betul-betul memberangsangkan dan positif untuk mereka bangkit daripada kekalahan semalam. Kami mendapat tiga kelebihan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim berjaya menjaringkan dua daripadanya sementara Ireland dihadiahkan dengan lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kami.

Artikel Berkaitan:

“Jaringan gol padang menerusi Azrai Aizad dan Najib Hassan juga menandakan ramai pemain kami yang boleh menjaringkan gol padang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia pada Khamis.

Ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata mereka turun dengan keyakinan cukup tinggi dan berusaha sehabis baik bagi memastikan kemenangan milik skuad ‘Speedy Tigers’ semalam selain berharap agar rakan sepasukannya mengekalkan momentum kemenangan bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Wales.

Perlawanan menentang Wales yang merupakan aksi ketiga bagi perlawanan ujian serta ketujuh secara keseluruhan di United Kingdom, akan berlangsung pada Sabtu ini pukul 11.30 malam waktu Malaysia di Pusat Hoki Wales.

Dalam pada itu, skuad remaja lelaki kebangsaan yang turut berada di United Kingdom tewas 0-2 kepada pasukan bawah 21 England di Bisham Abbey semalam. - Bernama