Sila log masuk terlebih dahulu.

JPJ keluar 136 saman kepada pemandu lori, pemilik syarikat

Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang memeriksa lori yang ditahan dalam operasi khas yang diadakan selama empat hari bermula 4 Oktober lalu.
Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang memeriksa lori yang ditahan dalam operasi khas yang diadakan selama empat hari bermula 4 Oktober lalu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 136 saman bernilai RM40,800 kepada pemandu lori dan pemilik syarikat membabitkan pelbagai kesalahan.

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan memfokuskan kenderaan membawa mesin, trak penunda dan lori membawa tong sampah roro sepanjang empat hari operasi bermula 4 Oktober lalu.

Menurutnya, sebanyak 358 kenderaan diperiksa dan 102 diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan.

"Jumlah saman ialah 136 dan 88 notis dikeluarkan kepada semua kenderaan yang diambil tindakan membabitkan 184 kesalahan.

"Antara kesalahan ketara ialah pemandu lori ini tidak mempunyai lesen memandu dan tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL) selain tiada cukai jalan," katanya kepada media selepas memeriksa kenderaan yang ditahan di Stesen Penguatkuasa Valdor di sini pada Khamis.

Tambah beliau, sebanyak 35 pemandu disaman kerana tiada lesen memandu manakala 29 dikenakan tindakan sama kerana tiada lesen GDL.

"Kesemua pemandu merupakan warga tempatan. Sebelum ini, kenderaan jenis ini kurang diperiksa oleh agensi penguat kuasa menyebabkan syarikat lori berani menggajikan pemandu yang tiada lesen.

"Pemandu yang tiada lesen memandu ini hanya belajar sendiri cara mengendalikan lori dan tidak belajar secara formal untuk mendapatkan lesen yang boleh membahayakan pengguna jalan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adenan menambah, antara kesalahan lain yang dikenal pasti ialah membawa muatan lebih selain juntaian belakang terlalu panjang.

Menurut Adenan, lori membawa sampah dalam tong roro kebanyakannya didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan atau barangan lain termasuk batu atau pasir.

"Lori jenis ini hanya dibenarkan membawa sampah buangan atau sampah kitar semula sahaja. Selain itu, ada juga yang membawa juntaian belakang terlalu panjang.

"Lori di bawah 7 tan ke bawah tidak boleh membawa lebih dari 1.21 meter juntaian belakang manakala lori lebih 7 tan, tidak boleh melebihi 1.5 meter. Jika terlalu panjang, ia tidak boleh bergerak terutamanya di jalan berbukit. Ini akan membahayakan kenderaan yang berada di belakang," katanya.

Katanya lagi, kenderaan yang ditahan juga dikesan melakukan kesalahan lain termasuk menggunakan tayar yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat supaya menggajikan pemandu lori yang mempunyai lesen memandu dan lesen GDL selain memastikan kenderaan mengikut peraturan yang ditetapkan.