Vaksin Covid-19 pertama Malaysia oleh pakar tempatan

Vaksin Covid-19 pertama yang dihasilkan Malaysia dibangunkan 100 peratus oleh pakar tempatan.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Vaksin Covid-19 pertama yang dihasilkan Malaysia dibangunkan 100 peratus oleh pakar tempatan.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Vaksin Covid-19 pertama yang dihasilkan Malaysia dibangunkan 100 peratus oleh pakar tempatan.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penyelidikan vaksin itu dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) membabitkan dua teknologi vaksin iaitu virus ternyahaktif (inactivated virus) dan jujukan genetik pengutus (mRNA).

"Vaksin di IMR dibangunkan secara 100 peratus pakar tempatan iaitu penyelidik di IMR, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI)," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta kementeriannya memaklumkan perkembangan semasa pembangunan vaksin Covid-19 pertama negara yang dimulakan sejak November tahun lepas.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, status terkini pembangunan vaksin Covid-19 di IMR adalah vaksin virus ternyahaktif telah berada di tahap penyahaktifan virus dan vaksin mRNA sedang menjalani proses 'in vitro transcription'.

"Penghasilan vaksin Covid-19 ini akan mengambil masa untuk mencapai tahap keselamatan dan keberkesanan melalui kajian klinikal fasa ketiga serta kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sebelum vaksin tersebut dapat digunakan di negara ini.

"Penyelidikan vaksin ini merupakan bidang baharu yang diceburi dan boleh digunakan oleh rakyat selepas keputusan kajian praklinikal (haiwan) dan kajian klinikal (manusia) menunjukkan ia selamat dan berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan: