Pembangunan ‘start-up’ perlu sokongan GLC, syarikat utama negara

Dr Adham (atas, kanan) dan Dr Asma (bawah, kanan) ketika program Pelancaran Laporan Pandangan Sains 2020 edisi ketiga oleh ASM yang diadakan secara maya pada Khamis.
Dr Adham (atas, kanan) dan Dr Asma (bawah, kanan) ketika program Pelancaran Laporan Pandangan Sains 2020 edisi ketiga oleh ASM yang diadakan secara maya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat utama negara perlu memberikan sokongan terhadap syarikat permulaan persendirian tempatan atau ‘start-up’ bagi membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi dengan kebolehpasaran yang tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi memastikan kedudukan Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) di peringkat global, negara perlu menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam membangunkan kerjasama strategik.

Beliau berkata, kerjasama sedemikian bertujuan bagi membolehkan perkongsian pengetahuan intensif di samping turut memberi impak positif bagi membina Malaysia yang harmoni, sejahtera, progresif dan lestari.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama dengan agensinya telah mengembangkan peta perancangan di sektor strategik yang dikenal pasti. Sebagai contoh, ini merangkumi pembangunan vaksin, robotik, nanoteknologi, ekonomi hidrogen dan syarikat pemula.

“Peta perancangan penyelidikan, pengembangan, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi (RDCI & E) akan mengintegrasikan strategi yang relevan untuk memudahkan pelaksanaannya.

“MOSTI juga sedang berusaha untuk membangun dan melaksanakan dasar nasional bagi teknologi utama seperti nanoteknologi, bioteknologi dan teknologi nuklear,” katanya ketika berucap melancarkan laporan Science Outlook 2020 edisi ketiga oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) yang bertemakan ‘Membuka Masa Depan’ pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, untuk bergerak ke hadapan, Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi yang mampu menghasilkan idea, penyelesaian dan teknologi inovatif bagi menangani cabaran global.

“Oleh demikian, MOSTI melalui model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) akan bekerjasama rapat dengan kementerian berkaitan, GLC dan syarikat utama negara untuk mewujudkan lima syarikat unicorn tempatan dalam lima tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini bagi memastikan peningkatan ekonomi negara terutama melalui penciptaan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Adham memaklumkan bahawa ‘10-10 Malaysia Science, Technology, Innovation and Economy (STIE) Framework’ dan ‘30 National STIE Niche areas’ telah dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Mengulas mengenai laporan Pandangan Sains 2020, Dr Adham berkata, ia telah memberikan gambaran realiti mengenai kemajuan yang dicapai dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) negara sejak tiga dekad lalu.

Menurut beliau, paling penting mengenai laporan tersebut ialah cadangan strategik yang digariskannya untuk negara bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh, bersedia, berdaya tahan dan bersepadu.

Dalam pada itu, Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, meskipun laporan tersebut menunjukkan Malaysia berjaya mencapai kemajuan luar biasa dalam beberapa aspek dari segi kemajuan dan pelaksanaan polisi STI, namun masih terdapat beberapa isu yang boleh ditambah baik.

“Hakikatnya, ekosistem STI negara cenderung menggunakan pendekatan ‘piecemeal’ dan tidak bersepadu dalam banyak perkara daripada kitaran pengurusan tadbir urus, pelaburan, pengembangan bakat hingga infrastruktur.

“Kita kurang fokus dan konsistensi ketika pelaksanaan. Malangnya, sumber daya negara semakin mengecil sehingga mengurangkan kesan pelaburan yang dilakukan. Ini juga tidak membantu industri kita yang secara umumnya menolak risiko ketika melabur dalam bidang kajian dan pembangunan (R&D).

“Inilah sebabnya mengapa peratusan perbelanjaan domestik Kasar untuk R&D (GERD) rata-rata sekitar satu peratus, sementara negara maju menghabiskan sekurang-kurangnya dua hingga empat peratus untuk aktiviti penyelidikan mereka," katanya.

Jelas beliau, kecenderungan negara yang hanya mengimitasi dan mengadaptasi teknologi berbanding melakukan inovasi bakal menyukarkan Malaysia untuk keluar daripada perangkap negara berpendapatan menengah apabila ekonomi serta kompleksiti teknologi global terus berevolusi dengan semakin pantas.