Calon Timbalan Speaker: Ahmad Maslan tarik diri

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menarik diri daripada menjadi calon Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekangan dan tanggungjawab selaku Setiausaha Agong UMNO ketika situasi politik negara yang kembali mencabar.

Menurutnya, perbincangan telah dibuat bersama pucuk pimpinan UMNO dan satu calon lain akan dikemukakan dalam masa terdekat.

“Sebab utama ialah saya mahu menumpukan perhatian kepada kerja sebagai Setiausaha Agong UMNO yang memerlukan begitu banyak masa lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang mencabar ketika ini.

“Saya telah maklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan berjumpa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, penarikan diri beliau pada Khamis membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menentukan calon baharu dalam tempoh yang diperlukan.

“Jika tidak, ia tidak akan memenuhi 14 hari syarat yang dikenakan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada sesi akan datang 25 Oktober depan.

“Saya harap calon adalah daripada UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, antara sebab lain keputusan itu dibuat ialah mahu terus ‘bersuara’ di Dewan Rakyat kerana jawatan sebagai Timbalan Speaker tidak membolehkan beliau bertindak demikian.

“Saya suka bangun mencelah, bertanya dan memberi cadangan. Ketika saya jadi wakil rakyat pembangkang saya bercakap pada semua kementerian, tak ada satu kementerian pun yang saya tidak bercakap.

“Kalau saya duduk di kerusi Timbalan Speaker itu, saya nak cakap apa? Suruh orang duduk, orang keluar. Jadi fungsi saya yang aktif itu tidak boleh lakukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap 20 cadangan transformasi Parlimen yang dikemukakan sebelum ini dapat dilaksanakan kerajaan.