Tiga syarikat peroleh kontrak bekalan kit ujian kendiri

Radzi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Radzi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 800,000 unit kit ujian kendiri yang disediakan kerajaan untuk keperluan pembukaan sekolah pada 3 Oktober lalu dibekalkan secara rundingan terus membabitkan nilai kontrak berjumlah RM9.72 juta.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tiga syarikat yang dilulus dan disenaraikan oleh Medical Devices Authority (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya memenuhi asas pertimbangan yang ditetapkan hasil saringan enam syarikat yang mengemukakan cadangan kepada KPM.

Menurutnya, pembekalan kit ujian saringan kendiri Covid-19 ini untuk sesi pembukaan sekolah pada Oktober sehingga Disember tahun ini.

“Asas pertimbangan yang ditetapkan ialah kit ujian saringan kendiri Covid-19 menepati spesifikasi yang ditetapkan, harga tawaran yang menguntungkan kerajaan dan nilai tambah yang ditawarkan oleh pihak syarikat.

“Selain itu, keupayaan kewangan syarikat dalam melaksanakan pembekalan dalam kadar segera dan keupayaan syarikat untuk membuat penghantaran ke 140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ke seluruh negara sebelum atau pada 26 September 2021.

“KPM juga menetapkan kit ujian saringan kendiri Covid-19 yang menggunakan air liur (saliva) sahaja yang akan dipertimbangkan kerana lebih mudah dan selamat untuk murid,” katanya pada Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mahu mengetahui butiran proses perolehan kit ujian kendiri untuk sekolah-sekolah termasuk kos yang dikeluarkan oleh pihak kementerian.

Mohd Radzi juga menjelaskan, permohonan rundingan bekalan secara terus juga terlebih dahulu telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 1 September 2021.

Artikel Berkaitan:

Penghantaran kit ujian saringan kendiri Covid-19 menerusi kontrak berkenaan juga telah disempurnakan oleh semua syarikat ke 140 PPD dan JPN seluruh negara pada 25 September 2021.