79 projek perumahan bernilai RM5.57 bilion terbengkalai

KPKT merekodkan sebanyak 79 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.57 bilion terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September tahun ini.Gambar hiasan
KPKT merekodkan sebanyak 79 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.57 bilion terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September tahun ini.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 79 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.57 bilion terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, projek terbengkalai mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] itu melibatkan 17,724 unit rumah dengan 11,824 pembeli.

"Kategori yang terbengkalai itu membabitkan sebanyak 38 projek iaitu 11,511 unit rumah yang melibatkan 6,319 pembeli sedang dalam peringkat perancangan bagi mengenalpasti kaedah dan mekanisme memulihkan projek tersebut melalui penyelesaian yang dipersetujui bersama oleh pemaju penyelamat dan pembeli.

"Sebanyak 26 projek iaitu 3,383 rumah yang melibatkan 2,806 pembeli dalam peringkat statik yang mana sedang dalam penyelesaian isu perundangan.

"Selain itu, sebanyak 15 projek iaitu 2,830 rumah yang melibatkan 2,699 pembeli dalam peringkat sedang dipulihkan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang mahu kementeriannya nyatakan nilai sebenar projek terbengkalai di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, berdasarkan statistik projek perumahan swasta yang terbengkalai, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 33, diikuti Kelantan dan Johor.

Ujarnya, sejak tahun 2009 hingga September 2021, KPKT berjaya menyelesaikan projek perumahan swasta terbengkalai sebanyak 215 projek, 59,090 unit rumah yang melibatkan seramai 39,247 orang pembeli.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan analisis yang dijalankan oleh kementerian kami, punca projek perumahan terbengkalai diklasifikasikan kepada beberapa kategori termasuk masalah kewangan, tidak memenuhi syarat pembangunan ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri dab tidak dapat mengesan pemaju asal," katanya.

Tambahnya, antara kaedah pemulihan dan penyelesaian projek perumahan terbengkalai ialah melalui ‘mediation’ dan pemulihan melalui penyelesaian dengan pembeli iaitu kaedah menjual semula unit rumah kepada pihak pelikuidasi.