Harga runcit telur ayam di Shah Alam stabil, terkawal

KPDNHEP Selangor menegaskan bahawa harga runcit telur yang pelbagai di Shah Alam berada pada tahap stabil dan terkawal. - Foto 123RF
KPDNHEP Selangor menegaskan bahawa harga runcit telur yang pelbagai di Shah Alam berada pada tahap stabil dan terkawal. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menegaskan bahawa harga runcit telur yang pelbagai di Shah Alam berada pada tahap stabil dan terkawal.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah ketika memberi maklum balas berhubung laporan mendakwa bahawa harga telur ayam tidak konsisten di Shah Alam berkata, harga tersebut di pasaran tidak ditetapkan oleh peniaga sebagai satu harga yang tetap atau seragam berikutan sifatnya yang mudah rosak dan tidak boleh disimpan lama.

Menurutnya, penetapan harga telur runcit adalah berbeza oleh setiap peniaga disebabkan beberapa faktor antaranya kos harga borong, belian jumlah bekalan (volume stock), kos operasi premis, sasaran pelanggan dan lain-lain kos sehingga ia dilihat berbeza atau tidak seragam dijual di premis-premis.

"Situasi ini merupakan situasi normal dan ekosistem perdagangan yang seiring dengan sistem ekonomi terbuka di Malaysia.

"Adalah ditegaskan, situasi kepelbagaian kedudukan harga telur ayam di pasaran Shah Alam masih dalam paras atau sekitar harga munasabah dan berpatutan yang tidak sama sekali memberi tekanan kepada kuasa beli pengguna di sekitar Shah Alam.

"Dakwaan yang dilaporkan menyatakan kedudukan harga telur ayam di Shah Alam tidak konsisten adalah kurang tepat mesejnya kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhamad Zikril Azan berkata, pemantauan harian dibuat KPDNHEP Selangor sehingga Selasa menunjukkan harga telur pelbagai dan memberi pilihan kepada pengguna.

Menurutnya, harga telur Gred A ialah 44 sen hingga 49 sen sebiji dan RM11.99 hingga RM13.89 sepapan manakala harga bagi telur Gred B pula ialah 42 sen hingga 48 sen sebiji dan RM11.25 hingga RM13.29 sepapan.

Artikel Berkaitan:

Harga telur Gred C pula ialah 40 sen hingga 45 sen sebiji manakala RM10.65 hingga RM12.90 sepapan.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril Azan berkata, pengguna juga boleh mendapatkan telur di pasar raya dan pasar basah yang harganya kompetitif dan berpatutan.

“Telur ayam tidak termasuk di bawah barang dan harga terkawal kecuali semasa musim perayaan.

"Jadi, pengguna akan menikmati harga runcit telur ayam gred A, B dan C yang seragam, sama atau tetap berdasarkan harga siling ditetapkan mengikut lokaliti,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut memandang serius kenaikan harga melibatkan barangan keperluan asas pengguna kerana ia memberi impak kepada kos sara hidup rakyat terutamanya dalam fasa pemulihan ekonomi negara.

Katanya, KPDNHEP menggunakan pendekatan baharu bagi menangani masalah kenaikan harga barang yang sering berulang membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pihak industri di lokasi berlaku kenaikan harga.

“Pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya," katanya.

Justeru, beliau memberitahu, pengguna juga boleh membuat pertanyaan dan aduan melalui saluran rasmi di Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; Call Centre di talian 1800 886 800; e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) 03-88826245/ 6088; dan WhatsApp 019- 279 4317.