X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Polis kesan lelaki cabul wanita di kedai vape

Rakaman CCTV yang tular di media sosial.
A
A

AMPANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang terbabit dalam kes cabul seorang wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, mangsa berusia 18 tahun yang juga pekerja kedai vape itu didatangi seorang lelaki berpakaian seragam tentera membeli barangan vape di kedai tersebut.

"Selepas selesai membeli barangan vape, lelaki itu keluar dari kedai, namun tidak lama kemudian, dia masuk semula ke kedai berkenaan.

"Suspek memberitahu mangsa pod vape dibelinya tidak berfungsi.

Mangsa kemudian memeriksa pod vape berkenaan dan menggantikannya dengan yang baharu," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, ketika mangsa menyerahkan pod vape berkenaan, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jarinya.

"Selepas mangsa memberitahu suspek terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai, lelaki itu melepaskan tangan mangsa dan terus beredar dari tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Klang pada Rabu.

"Siasatan sedang dijalankan dan kita dalam usaha mendapatkan butiran peribadi serta mengesan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohamad Farouk berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Zaleha Abdullah di talian 03-42897222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!