Semangat skuad muda negara tinggi

Lee Zii Jia bakal mengetuai skuad muda negara. - foto fb BAM
Lee Zii Jia bakal mengetuai skuad muda negara. - foto fb BAM
A
A
A

BIARPUN bakal mendapat laluan mudah apabila hanya perlu berdepan Kanada dan Jepun bagi aksi Kumpulan D saingan Piala Thomas, namun skuad muda negara diyakini tetap memberikan aksi terbaik mereka bagi memastikan kemaraan ke suku akhir dengan nota kemenangan.

Menurut bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Rashid Sidek, pemain muda negara kali ini akan beraksi bersungguh-sungguh bagi membuktikan kewibawaan masing-masing ketika beraksi pada saingan piala berprestij dalam sukan badminton itu.

“Bagi saya, mereka tidak akan pandang rendah kepada Kanada, apatah lagi Jepun. Ini kerana, kebanyakan pemain beraksi buat kali pertama di pentas saingan Piala Thomas ini.

“Oleh itu, saya yakin, mereka akan berikan yang terbaik dan saya yakin, mereka akan main betul-betul tanpa mengira lawan yang akan dihadapi pada saingan kali ini.

“Lagi pun, mereka masih muda dan perlukan pengalaman terutamanya apabila berdepan pemain-pemain yang berada pada ranking yang lebih tinggi daripada mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Skuad negara diundi sebelum ini dalam Kumpuan D bersama England, Kanada dan Jepun bagi saingan Piala Thomas yang dijadualkan berlangsung di Aarhus bermula 9 hingga 17 Oktober.

Bagaimanapun skuad badminton lelaki negara berpeluang cerah melangkah ke pentas suku akhir apabila England menarik diri daripada kejuaraan berprestij itu selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Sementara itu, Rashid berkata, dia yakin skuad muda negara dapat melakukan yang terbaik dan mara lebih jauh pada saingan Piala Thomas kali ini selepas permulaan meyakinkan semasa saingan Piala Sudirman sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan kepada aksi yang dipersembahkan pemain pada saingan Piala Sudirman baru-baru ini, mereka dilihat mampu pergi lebih jauh dalam saingan Piala Thomas kali ini.

“Pemain muda telah menewaskan Indonesia selain memberikan tentangan sengit kepada Jepun pada separuh akhir, jadi tidak mustahil untuk mereka teruskan momentum itu pada Piala Thomas pula,” katanya.