Malaysia boleh jadi negara pengeluar vaksin dalam 10 tahun: Dr Adham

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia boleh menjadi negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelan itu dikoordinasi melalui kerjasama strategik pelbagai pihak merangkumi badan kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat supaya pendekatan yang lebih menyeluruh dapat dikonsolidasi.

“Sebagai permulaan, sebuah pusat vaksin negara akan ditubuhkan iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI). Inisiatif ini perlu disegerakan kerana kerajaan sedar adalah sukar Malaysia untuk terus bergantung dan mendapatkan vaksin daripada negara maju akibat vaccine hoarding (membolot bekalan vaksin).

“Oleh itu, kepakaran dalam negara telah dikenal pasti dan sedang disusun bagi memastikan strategi dan tindakan dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sementara itu, Dr Adham berkata, dalam RMK12, MOSTI disediakan peruntukan pembiayaan Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sebanyak RM500 juta dan akan memastikan 50 peratus daripada dana itu diguna bagi pembangunan penyelidikan percubaan untuk projek yang berpotensi dikomersialkan.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan perkara itu, perbelanjaan kasar R&D (GERD) dapat ditingkatkan daripada 1.04 peratus pada 2018 kepada 2.5 peratus pada 2025.

“Melalui usaha ini, lebih banyak syarikat tempatan dapat beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pembangun dan pencipta teknologi,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok (Khamis). - Bernama

Artikel Berkaitan: