Isu Melaka bukan berlaku sekelip mata, tetapi dirancang lama: Ab Rauf

Ab Rauf (kiri) ketika program Sinar Live bertajuk ‘ Ulau Melingkau Atas Pagau’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Ab Rauf (kiri) ketika program Sinar Live bertajuk ‘ Ulau Melingkau Atas Pagau’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendakwa tindakan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bukanlah satu perkara berlaku dalam sekelip mata, tetapi dirancang begitu lama.

Beliau turut mendakwa, ia merupakan satu sandiwara yang dirancang oleh seorang pengarah sandiwara yang begitu berkeinginan untuk menjadi pemimpin utama di negeri berkenaan.

“Jadi, kalau ditanya saya kenapa keempat-empat orang ini menarik sokongan terhadap KM Melaka sememangnya saya tidak dapat memberikan alasan yang tepat.

“Tetapi setelah sidang akhbar dilakukan pada Isnin, maka saya mendapat maklumat bahawa apa yang berlaku ini bukanlah satu perkara yang berlaku dalam sekelip mata, ia telah dirancang begitu lama menyebabkan kita di peringkat perhubungan negeri tidak berbau (cium bau) tentang apa yang hendak dilakukan oleh keempat-empat mereka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘ Ulau Melingkau Atas Pagau’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, penarikan sokongan itu turut dibuat tanpa pengetahuan dan perbincangan antara semua samada dengan KM Melaka atau beliau selaku Pengerusi Perhubungan UMNO.

Berhubung dakwaan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) merasakan dipinggirkan berikutan beliau dikatakan punca kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Ab Rauf berkata, beliau tidak nampak perkara sedemikian berlaku.

Menurutnya, jika dilihat dalam struktur kerajaan, Idris merupakan salah seorang bekas Ketua Menteri yang dilantik menjadi Exco dalam barisan kepimpinan pengurusan kerajaan negeri, bahkan pernah terlibat bersama-sama dengan KM Melaka untuk menguruskan negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Soal beliau dipinggirkan adalah satu perkara yang saya tidak nampak. Meminggirkan beliau pada sudut mana? Memang faham ada soal isu nasional tetapi ada juga soal isu domestik.

“Tetapi kita tidak meminggirkan beliau untuk bersama-sama membina semula Melaka dan menjemput beliau duduk dalam barisan Exco untuk membina semula negeri Melaka yang telah kalah secara rasminya pada PRU14.

“Jadi, soal meminggirkan beliau itu tidak timbul kerana beliau bersama-sama dengan kami dan juga barisan ADUN yang lain menguruskan negeri ini selama 19 bulan,” katanya.