Bubar DUN Melaka: TYT Melaka didakwa ikut nasihat yang salah

Pakatan Harapan
Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam didakwa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan nasihat yang salah memandangkan Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, bekas Ketua Menteri itu telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri.

"Tindakan menumbangkan kerajaan negeri Melaka melalui penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri dilakukan tanpa mengikuti proses yang sepatutnya.

"Yang di-Pertua Negeri Melaka sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

"Malangnya, tindakan Yang di-Pertua Negeri Melaka ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri iaitu pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes (Datuk Seri) Nizar Jamaluddin lawan (Datuk Seri Dr) Zambry Abdul Kadir iaitu sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Mohd Ali bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pembubaran tersebut diumumkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media khas di Seri Negeri rentetan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu menurut kenyataan tersebut, pihaknya kesal dengan tindakan pembubaran DUN Melaka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, tindakan tersebut membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.