Tiada unsur jenayah kes kematian saksi berprofil tinggi

Fisol (tengah) pada sidang akhbar pada Rabu.
Fisol (tengah) pada sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan terhadap kes kematian seorang ahli perniagaan di sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawai di sini, pagi Selasa.

Sebaliknya, polis memaklumkan hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian lelaki bergelar Datuk itu disebabkan pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil siasatan di tempat kejadian termasuk penelitian kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian tidak menunjukkan sebarang elemen jenayah yang berlaku sebelum kejadian.

Menurutnya, keterangan diambil daripada isteri serta dua orang anak lelaki itu yang berusia 21 dan 24 tahun memaklumkan tiada kelakuan luar biasa dan tingkah laku aneh yang ditunjukkan mangsa pada malam kejadian.

"Hasil siasatan dilakukan dan laporan bedah siasat serta keterangan yang diambil daripada ahli keluarga ahli perniagaan itu mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku.

"Malah siasatan juga mendapati lelaki itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Jadi, kita harap semua pihak menghentikan sebarang spekulasi yang membabitkan kes kematian ahli perniagaan berkenaan,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan seorang pemaju hartanah ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei pada pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mayat lelaki itu ditemukan oleh pengawal keselamatan di dalam kolam renang di kondominium mewah tersebut dengan kesan kecederaan parah pada keseluruhan badan dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 16, unit kondominiumnya.

Artikel Berkaitan:

Lelaki berusia 53 tahun itu tinggal bersama isteri dan dua anaknya iaitu seorang lelaki dan seorang perempuannya di unit kondominium berkenaan.

Difahamkan, lelaki berkenaan antara saksi utama kes pendakwaan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai identiti ahli perniagaan berkenaan Fisol enggan mendedahkan nama lelaki terbabit disebabkan etika dan kemanusiaan selain menghormati perasaan ahli keluarga.

Beliau berkata, keterangan diambil daripada isterinya mengesahkan suaminya sebelum ini pernah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).