Polis Kelantan nafi berkas, gari dua individu

Shafien Mamat
Shafien Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menafikan satu paparan di media sosial yang menyatakan dua individu di Kampung Rumlag, Kuala Betis telah ditangkap dan digari kerana didakwa mempertahankan kawasan mereka daripada aktiviti pencerobohan syarikat pembalakan.

Paparan berkenaan didakwa dikongsi seorang pengguna media sosial dan telah disalaherti sehingga ia ditularkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Gua Musang pada Selasa telah mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk orang asli Kampung Rumlag Sungai Raya berkaitan dengan halangan di kawasan pembalakan berkenaan.

Katanya, tujuan perjumpaan berkenaan adalah untuk mengenal pasti punca permasalahan serta memberi nasihat dari segi keselamatan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

"Semasa pihak polis membuat rondaan di kawasan berkenaan, dua individu tersebut meminta untuk bergambar bersama kenderaan polis sebagai kenangan dan simpanan peribadi mereka.

"Walau bagaimanapun gambar berkenaan disalah ertikan dan ditularkan di laman sosial,"katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan polis mengenai penafian berkaitan perkara tersebut pada Rabu.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Artikel Berkaitan:

Pemilik akaun media sosial berkenaan bagaimanapun telah memadam paparan berkenaan.