X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

KPDNHEP rampas 3,700 liter minyak masak subsidi

Saharuddin (kiri) menunjukkan botol minyak masak yang ditemui di dalam premis berkenaan.
A
A

MARANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya merampas 3,700 liter minyak masak bersubsidi dan dua buah lori dengan nilai keseluruhan berjumlah RM80,400 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di sini pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi dibuat selepas KPDNHEP mendapati berlaku aktiviti mencurigakan berkaitan kegiatan pemindahan minyak masak bersubsidi dari peket satu kilogram ke dalam botol industri 20 kilogram (kg) tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Menurutnya, kegiatan menyalahi undang-undang tersebut berjaya dibongkar selepas pihaknya menjalankan risikan selama seminggu.

"Melalui serbuan dilakukan empat pegawai penguat kuasa pada jam 11 pagi, kita dapati empat lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai pekerja sedang leka mengangkat botol-botol minyak masak ke dalam muatan dua buah lori.

"Seorang lagi lelaki warga tempatan dipercayai sebagai penyelia yang turut berada di premis berkenaan gagal mengemukakan sebarang lesen untuk berurusan dengan barang kawalan berjadual," katanya kepada media di sini pada Rabu.

Saharuddin berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan di dalam premis mendapati terdapat lebih daripada 100 tong minyak masak serta beberapa tong dram dijumpai.

Katanya, dianggarkan terdapat kira-kira 680 liter (34 botol) minyak masak berada dalam muatan lori, manakala lebih 3,020 liter (151 botol) minyak masak pula di dalam premis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati minyak masak tersebut dibeli dengan harga RM2.48 seliter dan dijual kepada peniaga sekitar dengan harga RM2.80 seliter," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menahan lima lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!