X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Orang ramai rayu tangguh PRN Melaka

Tinjauan mendapati rata-rata penduduk merayu agar ia ditangguhkan dengan mengambil kira situasi peningkatan kes Covid-19 yang berlaku selepas PRN Sabah pada September tahun lalu. - Foto 123rf
A
A

MELAKA - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dikhuatiri akan mengundang peningkatan kes Covid-19 sekali gus menjejaskan aktiviti sosial dan ekonomi di negeri itu yang kini berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tinjauan mendapati rata-rata penduduk merayu agar ia ditangguhkan dengan mengambil kira situasi peningkatan kes Covid-19 yang berlaku selepas PRN Sabah pada September tahun lalu.

Melaka mencatatkan 200 kes positif Covid-19 pada Rabu dengan 88.5 peratus populasi dewasa di negeri itu telah lengkap vaksinasi setakat Selasa.

Pengusaha restoran di Bandar Hilir di sini, Mazlan Ismail, 45 berkata, peniaga makanan baharu sahaja menarik nafas lega selepas 'dine in' dibenarkan namun mereka khuatir ia akan ditarik balik jika kes Covid-19 kembali meningkat.

"Jika PRN diadakan, rakyat Melaka dari luar pasti akan pulang untuk mengundi dan tiada siapa boleh menafikan hak mereka sebagai pengundi namun kita risau berlaku jangkitan yang menyumbang kepada peningkatan kes.

"Apa yang saya lihat, kerajaan perlu mengambil iktibar apa yang berlaku selepas PRN Sabah, kes positif meningkat bukan sahaja di sana malah di seluruh negara sehingga banyak sektor perniagaan terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Peniaga pakaian di Pahlawan Walk di sini, Sharifah Shahira Wafa Syed Rosely Waffa, 27 turut meluahkan kebimbangan PRN akan menjejaskan proses pemulihan daripada wabak Covid-19 khususnya di Melaka yang begitu mengharapkan pembukaan semula sektor pelancongan.

"Peniaga di kawasan pelancongan seperti di Pahlawan Walk ini amat berharap pada pelancong luar tetapi apakan daya kami," katanya.

Beliau juga memutuskan untuk tidak keluar mengundi sekiranya PRN itu diteruskan kerana risau dijangkiti meskipun terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh pihak berkuasa.

Seorang pekerja syarikat swasta, Ian Choo Tze Wei, 29 pula berkata, dia akan tetap keluar mengundi kerana itu adalah tanggungjawabnya dalam memilih wakil rakyat.

Bagaimanapun, dia berharap PRN Melaka dapat ditangguhkan sehingga keadaan benar-benar selamat daripada wabak Covid-19.

Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Zaiton Sidek turut melahirkan kebimbangan kerana peningkatan kes Covid-19 akan merencatkan pelbagai aktiviti khususnya dalam kalangan belia.

"Banyak sebenarnya aktiviti untuk belia yang telah kita rangka untuk dilaksanakan tetapi ia sering tertangguh dalam tempoh Covid-19 ini terutama apabila PKP dikuat kuasa,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada 4 Oktober daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!