Bersatu di Sarawak atas kehendak rakyat

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A
BINTULU - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sarawak adalah atas kehendak rakyat pribumi negeri, yang merasakan hanya parti itu yang memahami tahap kehidupan dan melindungi hak mereka.

Beliau berkata, pada asalnya parti itu tidak bercadang untuk datang ke Sarawak, tapi akhirnya ia tetap melebarkan sayapnya ke Bumi Kenyalang, atas permintaan dan tuntutan rakyat Sarawak sendiri.

“Sebab kita sedar bahawa orang pribumi masih berasa tidak senang dengan taraf hidup mereka, kemajuan mereka, dan peranan mereka dalam politik negara. Mereka berpendapat hanya Bersatu sahaja boleh perjuangkan hak mereka," katanya semasa merasmikan penubuhan Bersatu Sarawak di Dewan Suarah Bintulu malam tadi.

Katanya, beliau yakin pada pilihan raya negeri yang akan datang, menerusi Bersatu dengan kerjasama parti komponen Pakatan Harapan yang lain di Sarawak, rakyat akan dapat menukar kerajaan negeri yang ada sekarang.

Mahathir berkata, sebelum ini di Semenanjung, rakyat di sana tidak terfikir BN boleh ditumbangkan, tetapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas, rakyat menolak BN dan memilih PH.
Artikel Berkaitan:


Beliau seterusnya menyentuh soal belanjawan yang dibentangkan di persidangan Dun baru-baru ini, yang menyaksikan Sarawak memperuntukkan RM11 bilion untuk pembangunan, yang terbesar berbanding negeri-negeri lain.

Menurut beliau, ia menunjukkan Sarawak adalah sebuah negeri yang kaya, dan sebagai negeri yang kaya rakyatnya tidak sepatutnya masih ramai yang miskin.

"Kekayaan itu seharusnya dikongsikan bersama dengan rakyat agar mereka akan turut kaya," katanya sebelum disambut dengan laungan "Hidup Tun" dan "Hidup Bersatu" dari kalangan para hadirin. - Bernama