Ipoh sedia terima pelawat rentas negeri

Rumaizi (tiga dari kanan) menerima dokumen MoU daripada wakil sebuah syarikat yang terbabit dalam cadangan pembinaan jalan utama Meru Raya - Klebang di Ipoh.
Rumaizi (tiga dari kanan) menerima dokumen MoU daripada wakil sebuah syarikat yang terbabit dalam cadangan pembinaan jalan utama Meru Raya - Klebang di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Bandar raya Ipoh sedia menerima kehadiran pelawat dan pelancong sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan setelah negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa pembaharuan di lokasi-lokasi pelancongan di sekitar Ipoh yang dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga bakal memperkenalkan wajah baharu produk pelancongan buat pengunjung pada November ini.

"Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, kita telah merancang dan melaksanakan sebahagian besar aset-aset pelancongan yang akan disiapkan dalam bulan Oktober dan hujung tahun ini.

"Antara lokasi akan disiapkan adalah ‘Light and Sound’ di Padang Ipoh, Kinta Riverwalk, Gunung Lang, Gua Matsoorat, Taman Jepun dan sebagainya. Bandar raya Ipoh sudah bersedia untuk menerima pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MBI bersama Syarikat Ain Bina Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd mengenai pembinaan jalan utama Meru Raya-Klebang di Dewan Mesyuarat MBI di sini pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.

Sehingga kini, kadar lengkap 90 peratus vaksinasi Covid-19 populasi dewasa merekodkan jumlah 88.4 peratus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rumaizi berkata, cadangan pembinaan jalan utama Meru Raya - Klebang yang menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dan Lebuh Klebang Putra dijangka akan mengurangkan kesesakan trafik di kedua-dua kawasan itu.

Katanya, pembinaan jalan itu bukan sahaja menjimatkan masa malah merancakkan aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan.

"Anggaran kos untuk keseluruhan projek adalah RM6.4 juta melibatkan pembinaan sebuah jambatan merentangi Sungai Klebang dan pembinaan jalan sepanjang 1.6 kilometer.

"Projek dijangka bermula penghujung tahun ini mengambil tempoh 18 bulan disiapkan. Penyambungan jalan ini dijangka akan memendekkan masa perjalanan kira-kira 20 minit," katanya.

Rumaizi berkata, pihaknya menjangkakan lebih 1,600 rumah dan lot kedai akan dibangunkan di kawasan itu dalam tempoh lima tahun.