30 peniaga Medan Selera MBAS mohon pengecualian sewa

Mohamad Yusrizal (kiri) meninjau dan mendengar keluhan Salmah yang kembali berniaga sejak dua minggu lalu di Medan Selera Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alor Setar pada Rabu.
Mohamad Yusrizal (kiri) meninjau dan mendengar keluhan Salmah yang kembali berniaga sejak dua minggu lalu di Medan Selera Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 30 peniaga di Medan Selera Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memohon pengecualian bayaran sewa premis masing-masing bermula Mei hingga hujung tahun 2021 kerana baharu sahaja kembali beroperasi disebabkan oleh Covid-19.

Seorang peniaga makanan, Salmah Othman, 65 berkata, dia masih belum mampu membayar tunggakan sewa hampir RM2,000 kerana tidak dapat membuka kedai akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei lalu.

Menurutnya, dia terpaksa memikirkan cara untuk membayar sewa sebanyak RM315 sebulan biarpun perniagaannya tidak beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

"Mak cik kembali berniaga sejak dua minggu lalu dan baharu sahaja nak bernafas. Kami harap pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini dapat memberikan pengecualian bayaran bagi meringankan beban kami.

"Mak cik juga perlu membayar gaji kepada tiga orang pekerja kerana pada waktu sama mahu membantu mereka yang turut terjejas akibat Covid-19 ini," katanya ketika ditemui pemberita di Medan Selera Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jalan Kota pada Rabu.

Salmah berkata demikian selepas dikunjungi Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff yang turut bertemu dengan 30 peniaga medan selera lain tersebut.

Bagi Pesuruhjaya Sumpah, Ahmad Farizan Daud, 44, yang menyewa premis untuk dijadikan sebagai pejabat berkata, MBAS perlu melihat keluhan peniaga yang bergelut akibat perniagaan merosot dan terjejas teruk.

Menurutnya, tunggakan sewa premisnya yang mencecah hampir RM1,700 selepas enam bulan tidak membayarnya sedikit-sebanyak turut membebankannya kerana tidak ramai pelanggan mendapatkan khidmatnya dalam tempoh pandemik ini.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lalu peniaga dapat menjelaskan bayaran sewa walaupun beberapa bulan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk daerah Kota Setar.

"Dalam tempoh PKP 3.0, kami tidak dapat berniaga dan kami harap ada pengecualian bayaran. Kami pun harap agar kenaikan bayaran parking khas dari RM105 kepada RM150 sebulan bermula awal tahun 2021 dapat dipertimbangkan kerana ia membebankan peniaga di sini," katanya.

Mohamad Yusrizal semasa ditemui pula berkata, beliau berharap PBT dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh peniaga-peniaga yang baharu sahaja mahu kembali bernafas dalam perniagaan mereka.

Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad ketika dihubungi pemberita pada Rabu berkata, kerajaan Kedah membuat keputusan memberikan potongan bayaran sewa 50 peratus selama enam bulan kepada semua premis mulai Julai hingga Disember 2021 untuk semua PBT di seluruh negeri ini.

"Oleh kerana PBT terima keputusan tersebut pada bulan September, maka perlaksanaan potongan 50 peratus diberikan mulai bulan Oktober 2021 sehingga Mac 2022.

"Ertinya, dari bulan Mei hingga September 2021 peniaga-peniaga masih dikenakan bayaran," katanya.