PPM perkukuh rondaan bersama RTMP, RTBP cegah jenayah rentas sempadan

PPM Wilayah Tiga akan terus meningkatkan lagi rondaan di kawasan penugasan bagi memastikan aktiviti jenayah sempadan dapat dikurangkan.
PPM Wilayah Tiga akan terus meningkatkan lagi rondaan di kawasan penugasan bagi memastikan aktiviti jenayah sempadan dapat dikurangkan.
A
A
A

TUMPAT - Rondaan di perairan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini terus diperkukuhkan menerusi kerjasama erat antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dengan Royal Thai Marine Police (RTMP) serta Royal Thai Border Patrol (RTBP) bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.

Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Razlin Abdul Manaf berkata, menerusi kerjasama itu pihaknya turut bertukar-tukar maklumat berkait aktiviti jenayah bagi memastikan kawalan sempadan antara kedua-dua negara berada pada tahap terbaik.

"Alhamdulillah, hari ini (Rabu) kita kembali melakukan rondaan bersama buat julung kalinya sejak negara dilanda pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada Rabu.

Anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan melakukan rondaan di kawasan perairan Kuala Takbai bersama RTMP serta RTBP.

Menurutnya, sejak pandemik Covid-19, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan RTMP serta RTBP melakukan rondaan di kawasan perairan masing-masing bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.

Bagaimanapun, katanya, pertukaran maklumat menerusi perhubungan secara dalam talian tetap berjalan seperti biasa bagi memastikan sempadan kedua-dua negara berada pada tahap terbaik.

Mohd Razlin berkata, PPM Wilayah Tiga akan terus meningkatkan lagi rondaan di kawasan penugasan bagi memastikan aktiviti jenayah sempadan dapat dikurangkan.

Katanya, walaupun terdapat beberapa kekangan dalam melaksanakan tugas, namun tanggungjawab akan terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Pertukaran maklumat itu penting bagi memastikan kawasan perairan berada dalam keadaan 'kebal' daripada sebarang ancaman tidak baik," katanya.