X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Rais Hussin letak jawatan Pengerusi MDEC

Rais Hussin. - Foto Salaamgateway
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan peletakan jawatannya pada Rabu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah MDEC yang terakhir.

"Saya telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MDEC," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasrat untuk melepaskan jawatan itu telah disuarakan kepada Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pertengahan Ogos lalu.

"Pada awal September, saya sekali lagi mengulangi hal sama kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa," katanya.

Selama 15 bulan menerajui agensi itu, beliau telah berdepan dengan tanggungjawab membangunkan semula MDEC antaranya penyusunan semula pengurusan, mempertingkat tadbir urus, integriti dan sebagainya.

"Adakalanya terpaksa membuat keputusan 'tidak popular', " ujarnya

Rais Hussin berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti MDEC perlu diberi nafas baharu secepat mungkin tanpa campur tangan politik atau sebagainya kerana ia adalah wang rakyat.

"MDEC merupakan agensi kerajaan yang kritikal dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

"Ia tidak boleh dianggap syarikat pengelola projek dan pengurus acara kerana MDEC mempunyai peranan besar dalam memacu ekonomi digital negara," katanya.

Sebelum ini, kerajaan didesak untuk memecat Rais Hussin susulan mengeluarkan kenyataan berbaur serangan peribadi berkaitan isu dasar kabotaj pada Khamis lalu.

Rais Hussin menerusi Twitternya mendakwa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempunyai IQ bertaraf kubis tidak sepatutnya membincangkan dasar kabotaj di Malaysia.

Kritikan itu tercetus selepas Ka Siong tampil menjelaskan bahawa pelaksanaan dasar kabotaj tidak wajar dipersalahkan sebagai satu-satunya faktor apabila Malaysia diketepikan dalam projek sistem kabel dasar laut Apricot, kendalian firma gergasi rangkaian telekomunikasi dari Jepun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!