Hutan Simpanan Kekal untuk perlombongan tidak dibenarkan

Takiyuddin.- Foto Bernama
Takiyuddin.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan membenarkan sebarang cadangan bagi pewartaan keluar kawasan Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan perlombongan.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, buat masa ini, tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKPSM) akan dikeluarkan untuk lombong di atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal atau rizab perlindungan serta kawasan yang diwartakan sebagai kawasan sensitif alam yang lain.

“Walau bagaimanapun, KeTSA tidak bersetuju jika ada mana-mana cadangan bagi pewartaan keluar kawasan Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan perlombongan,” katanya ketika Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab cadangan Wong Chen (PH-Subang) yang mencadangkan kepada kerajaan supaya aktiviti perlombongan di kawasan hutan tidak dibenarkan.

Takiyuddin sebelum itu menjelaskan, aktiviti pengkuarian dan perlombongan menyumbang kepada 0.7 peratus yang bersamaan RM9.9 billion bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Kata beliau, secara umumnya, sebelum syarikat memulakan aktiviti perlombongan di kawasan hutan, syarikat perlu memohon kebenaran Lesen Carigali, Prospecting Licence (PL) atau Lesen Menjelajah, Exploration Licence (EL) bagi tujuan kerja carigali atau eksplorasi mineral daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Kemudian disusuli dengan kelulusan pajakan melombong. Selanjutnya, syarikat perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Negeri untuk mendapatkan SKPSM,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KeTSA juga sedang membangunkan Kerangka Kewangan Reducing Emissions From Deforestation and Forest Degradation (REDD) Plus atau REDD Plus Finance Framework (RFF) yang merupakan satu inisiatif kewangan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan inisiatif mengekal dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

“KeTSA juga telah menubuhkan sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund (MFF) yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework – RFF) di Malaysia,”katanya.